Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Mac - Keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) di Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) melegakan para pelabur.
Ini sekali gus mendorong indeks penanda aras di Bursa Malaysia, FBM KLCI untuk meneruskan momentum lonjakan dengan peningkatan 4.11 mata daripada 1,581.26 kepada 1,585.37 setakat 9.01 pagi.
Bagaimanapun, dagangan pagi ini menyaksikan sebanyak 370 kaunter rugi mengatasi 187 kaunter untung.
Antara saham yang rugi pagi ini termasuk Malaysian Pacific Industries Berhad, Heineken Malaysia Berhad, Unisem (M) Berhad, ViTrox Corporation Berhad, Press Metal Aluminium Holdings Berhad, UWC Berhad, Frontken Corporation Berhad, Pentamaster Corporation Berhad, Kelington Group Berhad dan Genting Berhad.
Rakuten Trade Research percaya FBM KLCI akan menyaksikan penjualan lagi hari ini namun sebarang kemerosotan mungkin dikurangkan oleh pemburuan saham murah.
“Di pasaran tempatan, kami percaya FBM KLCI akan menyaksikan penjualan lanjut, tetapi penyusutan mungkin akan dikurangkan oleh pemburuan saham kewangan yang murah memandangkan bank-bank dijangka menerima manfaat daripada pemulihan ekonomi dengan kadar faedah stabil pada paras terkini.
“Oleh itu, kami percaya indeks berkenaan mungkin berlegar dalam jajaran 1,575/85 hari ini.
“Sementara itu, harga minyak mentah melonjak semula dengan mentah Brent menghampiri AS$67 setong dan dijangka menyentuh paras AS$70 tidak lama lagi atau akan datang,” jelas firma penyelidik itu dalam nota kajiannya.
Semalam, BNM memutuskan untuk mengekalkan OPR pada kadar 1.75% ekoran pemulihan ekonomi dilihat semakin rancak, disokong oleh sektor perkilangan dan perdagangan di samping program vaksinasi yang dilaksanakan di kebanyakan negara.
Baca : BNM kekalkan OPR 1.75%
Di peringkat global, Wall Street sekali lagi menyaksikan penjualan mendadak apabila Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) tidak mampu melegakan ketakutan terhadap inflasi dan peningkatan kadar.
“Disebabkan itu, kadar hasil perbendaharaan AS selama 10 tahun melonjak kepada 1.56% sementara Dow Jones Industrial Average kehilangan 346 mata untuk ditutup bawah paras 31,000.
“Ekoran sentimen berubah mendebarkan, kami menjangkakan pasaran serantau akan terus menyaksikan penjualan lebih tinggi daripada pembelian saham,” jelas Rakuten Trade lagi. - DagangNews.com