OPR : Penganalisis ekonomi tidak menolak kemungkinan naik lagi 25 mata asas tahun ini | DagangNews Skip to main content

OPR : Penganalisis ekonomi tidak menolak kemungkinan naik lagi 25 mata asas tahun ini

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Jan - Bank Negara Malaysia (BNM) yang membuat 'kejutan' dengan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75% adalah bagi membolehkan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) menilai kesan kenaikan kadar yang lalu ke atas ekonomi.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, MPC menjelaskan bahawa normalisasi pada masa hadapan akan bergantung kepada implikasi semasa terhadap inflasi dan kadar pertumbuhan.

 

Firma itu berkata, sebarang kemungkinan pelan rasionalisasi subsidi baharu yang mungkin dilaksanakan kerajaan pada tahun ini akan menyebabkan BNM menaikkan lagi OPR sebanyak 25bps seawal Mei dan secara tidak langsung meningkatkan risiko kenaikan inflasi.

 

"Keadaan ini menjadikan sasaran OPR akhir 2023 kami yang disemak semula kepada 3% (daripada 3.25% sebelum ini)," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Firma itu berkata, MPC menyatakan bahawa data terkini menunjukkan perkembangan berterusan pada 4QFY22 disebabkan permintaan domestik yang berdaya tahan dan hasilnya, BNM menjangkakan pertumbuhan untuk 2022 melebihi unjuran julat awal iaitu 6.5-7.0%.

 

Katanya, pertumbuhan kemudiannya dijangka menjadi sederhana pada 2023, dalam keadaan ekonomi global yang lebih perlahan, tetapi akan kekal disokong oleh permintaan domestik.

 

"Ini sejajar dengan ramalan kami untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjadi sederhana kepada 4% pada 2023," katanya.

 

BNM melihat inflasi teras menjadi sederhana sepanjang tahun 2023 tetapi menjangkakan ia kekal pada paras tinggi dalam keadaan permintaan dan tekanan kos yang berlarutan.

 

"Kami menjangkakan inflasi secara purata turun sebanyak 3.1% pada 2023 (2022: 3.4%) namun ini masih di atas paras pra pandemik.

 

"BNM mengulangi bahawa risiko terhadap unjuran inflasi masih tinggi tertakluk kepada sebarang perubahan kepada dasar domestik, serta perkembangan harga komoditi global," katanya.

 

Sementara itu AmInvestment Bank Research juga mengekalkan unjuran OPR sebanyak 3% pada 2023 dan ia didorong beberapa faktor termasuk penggunaan swasta menunjukkan bahawa perbelanjaan masih kukuh dengan jualan runcit pengedaran terus berkembang sebanyak 13.9%.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, pertumbuhan pinjaman semakin lemah dan simpanan isi rumah berada dalam aliran menurun sejak September 2022, berkemungkinan bahawa isi rumah telah menghabiskan simpanan mereka untuk berbelanja dan mungkin terdapat faktor lain.

 

Firma itu berkata, kadar inflasi berada pada paras 4.2% pada November 2022 tertinggi sejak data mengenainya dikumpul pada 2015.

 

"Komponen yang terdapat di dalam inflasi teras merangkumi makanan dan minuman, kesihatan dan pakaian. Segmen kesihatan menunjukkan trend menaik dan tidak menunjukkan sebarang tanda untuk turun.

 

"Antara faktor lain termasuk kadar faedah semasa dan sekiranya kadar OPR naik, inflasi domestik juga akan menjadi lebih tinggi," katanya. 

 

Firma itu berkata, faktor terakhir yang memainkan peranan adalah pasaran tenaga kerja yang sukar dan Malaysia menunjukkan tahap persaingan yang tinggi tetapi tidak ekstrem.

 

Katanya, mereka melihat hubungan yang kuat antara pertumbuhan guna tenaga dan inflasi teras.

 

"Jumlah kekosongan jawatan masih dua ke tiga kali lebih tinggi daripada tahap pra pandemik, bermakna masih terdapat lebih banyak ruang untuk pasaran tenaga kerja bertambah baik pada 2023," katanya. - DagangNews.com