OPR: Potong atau kekal 1.75%? | DagangNews Skip to main content

OPR: Potong atau kekal 1.75%?

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Sept. -  Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini bakal menentukan sama ada kadar dasar semalaman (OPR) akan dikekalkan atau dikurangkan.

Penganalisis ekonomi mempunyai pandangan berbeza di mana ada yang berpendapat tiada keperluan untuk OPR dikurangkan lagi, dan selebihnya menjangkakan kadar itu bakal dikurangkan sebanyak 25 mata asas (bps).

Menurut laporan Bloomberg, seramai 12 ahli ekonomi berpandangan OPR akan dikekalkan pada kadar 1.75%, manakala sembilan lagi menjangkakan BNM akan mengurangkannya.

Kaji selidik yang dilaksanakan Reuters pula mendapati enam ahli ekonomi menjangkakan kadar itu dikekalkan, manakala tujuh lagi meramalkan OPR dikurangkan lagi. 

Bagaimanapun, sebilangan besar daripada kaji selidik oleh Bloomberg dan Reuters mendapati kadar OPR akan dikurangkan sebanyak 25 bps. 

Pada 17 Ogos lalu, DagangNews melaporkan Ambank Research menjangkakan OPR akan dipotong 25 bps pada bulan ini dengan 70% kemungkinan pemotongan sebanyak 50 bps untuk menyokong pertumbuhan ekonomi. 

Baca : BNM dijangka potong OPR 50 bps bulan depan

Jangkaan itu dibuat berdasarkan penguncupan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku kedua 2020.

“Sukar untuk negara pulih dan peroleh kemampanan dalam waktu terdekat. Oleh itu, ekonomi mungkin akan mencatatkan penguncupan pada suku ketiga 2020,” kata Ambank Research.

Sebaliknya, Standard Chartered Bank  dan ahli ekonomi Asia, Jonathan Koh meramalkan BNM akan menghentikan (tidak mengurangkan OPR) dan menilai saham ekonomi global termasuk Malaysia. 

Baca : BNM dijangka kekalkan OPR 1.75%, kata Standard Chartered

Pertama ialah ekonomi global yang dibuka semula termasuk Malaysia serta kekerapan data yang menunjukkan peningkatan yang jelas.

"Kedua, unjuran data ekonomi tetap yang tidak menentu akibat perintah berkurung," jelas Standard Chartered.

Selain itu, jangkaan itu turut dibuat berdasarkan tindakan BNM yang telah menurunkan kadar OPR ke paras terendah.

Baca : BNM confirmed reducing OPR up to 1.75%

BNM pada 7 Julai 2020 mengesahkan OPR dikurangkan sebanyak 25 bps kepada 1.75%.

Pemotongan itu merupakan kali keempat pada tahun 2020 dan mencatatkan kadar terendah sejak 15 tahun lalu. 

Kesan COVID-19 terhadap ekonomi global adalah teruk. Oleh itu, pengurangan OPR memberikan rangsangan dasar tambahan untuk mempercepat pemulihan ekonomi,”jelas BNM baru-baru ini. - DagangNews.com