OPR stabil pada paras 3%, Maybank IB unjur jualan hartanah kekal berdaya tahan | DagangNews Skip to main content

OPR stabil pada paras 3%, Maybank IB unjur jualan hartanah kekal berdaya tahan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Dis - Maybank Investment bank (Maybank IB) mengunjurkan jualan hartanah kekal berdaya tahan disokong kadar dasar semalaman (OPR) stabil pada paras 3%.

 

Firma itu juga menjangkakan pertumbuhan jualan antara 5% hingga 15% bagi syarikat di bawah liputan mereka kecuali UEM Sunrise Berhad dan Tambun Indah Land Berhad mereka dirangsang dengan hasil RM874 juta hasil jualan hartanah di Australia selain  pelancaran projek besar baharu.

 

"Minat terhadap kediaman bertanah dan perindustrian  kekal kukuh, terutamanya selepas menerima pelaburan dari China, kelemahan nilai ringgit dan bekalan terhad taman perindustrian strategik di negara ini.

 

"Kami menjangkakan akan melihat lebih banyak urus niaga tanah di Iskandar Malaysia, terutamanya kawasan Kulai-Sedenak berikutan permintaan tinggi daripada pusat data dan harga tanah kawasan itu secara relatifnya lebih murah berbanding Iskandar Puteri," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Maybank IB berkata, fokus utama kini terarah kepada  zon ekonomi khas (SEZ) Johor-Singapura.

 

Katanya, berdasarkan pemerhatian mereka, pihaknya menjangkakan SEZ berkemungkinan terletak di Sedenak, 2,950 hektar milik Johor Corporation 

 

"Pada pandangan kami, adalah rasional untuk menempatkan SEZ di Sedenak bagi mewujudkan kawasan pertumbuhan baharu dalam Iskandar Malaysia. 

 

"SEZ akan membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di negeri Johor," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Sime Darby Property Berhad kerana memiliki kunci kira-kira yang sihat serta pendedahan ketara terhadap segmen perbandaran serta hartanah perindustrian.

 

Katanya, saranan 'beli' juga dikekalkan untuk SP Setia Berhad kerana kepelbagaian produk selain mereka sedang mengurangkan tahap hutangnya dengan melupuskan luar bank tanah bukan teras.

 

Sementara itu, firma itu menyukainya Tambun Indah Land kerana miliki pengurusan yang cemerlang selain kunci kira-kira yang sihat.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' bagi sektor hartanah," katanya. - DagangNews.com