Optimax sasar pembukaan lebih banyak Pusat Jagaan Ambulatori, hospital pakar dan pusat satelit | DagangNews Skip to main content

Optimax sasar pembukaan lebih banyak Pusat Jagaan Ambulatori, hospital pakar dan pusat satelit

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Mei - Optimax Holdings Berhad menyasarkan pembukaan lebih banyak Pusat Jagaan Ambulatori (ACC), hospital pakar dan pusat satelit tidak lama lagi sejajar dengan rancangan pembesaran kumpulan.

 

Pengerusi Optimax, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min berkata, buat masa sekarang, kumpulan itu memiliki 13 ACC, sebuah hospital pakar dan tiga pusat satelit.

 

Beliau berkata, pihaknya percaya bahawa penambahan itu akan meningkatkan kehadiran pesakit yang akan membantu menghasilkan margin keuntungan lebih baik untuk kumpulan.

 

"Langkah pragmatik ini seterusnya akan mengurangkan kesesakan pesakit di ACC utama kerana klinik dan pusat satelit akan dapat menyediakan perkhidmatan pemeriksaan mata dan perundingan, dan hanya menghantar pesakit ke ACC terdekat yang tersedia untuk kes yang memerlukan pembedahan," katanya dalam Laporan Tahunannya di Bursa Malaysia.

 

Chaw Min berkata, menerusi Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) satu rangka tindakan telah dibangunkan untuk menetapkan pelan hala tuju pelancongan perubatan dari 2021 hingga 2025 dengan harapan dapat memperoleh lebih banyak keuntungan untuk meningkatkan pelancongan perubatan di Malaysia.

 

Katanya, kumpulan itu pastinya telah mendapat manfaat daripada langkah ini dan kami akan terus memanfaatkan bidang khusus ini yang jika dikendalikan dengan betul, boleh mendapatkan pulangan yang sangat menguntungkan kepada mereka.

 

"Kesihatan mata menjadi semakin penting kerana lebih ramai orang sentiasa menggunakan peranti digital untuk berkomunikasi, belajar dan berhibur.

 

"Tabiat buruk, seperti duduk terlalu dekat dengan skrin terang, akhirnya boleh membawa kepada kemerosotan dalam kesejahteraan mata seseorang," katanya.

 

Beliau berkata, pihaknya akan terus fokus dan sentiasa mengintai untuk merebut sebarang peluang yang memberikan nilai kepada kumpulan dan pemegang saham sambil menegakkan nilai dan budaya perniagaan teras syarikat.

 

"Dengan ini, pelabur kami boleh yakin bahawa ini akan membawa kepada kejayaan yang berterusan, memandangkan asas yang kukuh, tadbir urus korporat yang berkesan dan pengurusan perniagaan yang berhemat," katanya. - DagangNews.com