Optimis dengan pemulihan ekonomi, kerajaan kekal unjuran KDNK 2022 antara 5.5-6.5% | DagangNews Skip to main content

Optimis dengan pemulihan ekonomi, kerajaan kekal unjuran KDNK 2022 antara 5.5-6.5%

Perdagangan luar negeri mencatat rekod tertinggi sepanjang suku keempat 2021, dengan jumlah dagangan negara pada 2021 melebihi paras RM2 trilion.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 11 Feb - Kerajaan mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara antara 5.5 hingga 6.5% tahun ini setelah negara menunjukkan tanda-tanda pemulihan melalui prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2021 dengan pertumbuhan 3.1%.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, unjuran tersebut juga adalah selari dengan unjuran oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia masing-masing pada 5.7% dan 5.8%

 

Katanya, pengekalan kelonggaran sekatan pergerakan serta aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih rancak seiring dengan permintaan domestik dan luar yang kukuh, dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.

 

"Pemulihan ekonomi pada 2021 akan terus menyokong KDNK Malaysia agar kembali ke paras sebelum pandemik.

 

"Di samping itu, pertumbuhan akan dipacu terutamanya oleh Bajet 2022 yang mengembang, normalisasi dalam aktiviti ekonomi dan sosial berikutan kadar vaksinasi tinggi, penyambungan semula projek dengan kesan pengganda yang tinggi serta permintaan luar kukuh terutama daripada rakan dagang utama," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

 

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

 

 

Walaupun berhadapan dengan ancaman varian Omicron serta bencana banjir di Lembah Klang dan beberapa negeri lain pada Disember lalu, KDNK Malaysia meningkat sebanyak 3.6% pada suku keempat 2021 berbanding penguncupan 3.4% pada tempoh sama tahun lalu.

 

Pertumbuhan KDNK bulanan kembali positif sepanjang suku keempat. Momentum pemulihan KDNK terus mencatat pertumbuhan sebanyak 2.6% pada bulan Disember, susulan pertumbuhan yang memberangsangkan pada bulan November sebanyak 5.4%, dan 2.7% pada Oktober 2021. 

 

Baca : Ekonomi Q4 berkembang 3.6%, catat pertumbuhan KDNK 2021 pada 3.1%

 

Prestasi ekonomi pada suku itu yang memberangsangkan telah disokong oleh penambahbaikan dalam 
pasaran buruh dengan kadar pengangguran berkurang kepada 4.2%, dan nilai jualan sektor pembuatan yang meningkat sebanyak 15.5% pada Disember. 

 

Perdagangan luar negeri mencatat rekod tertinggi sepanjang suku keempat, di mana jumlah dagangan negara pada 2021 melebihi paras RM2 trilion dengan peningkatan tahunan sebanyak 24.8%, iaitu pertumbuhan tertinggi sejak 1994. 

 

Pertumbuhan ini disumbang oleh aktiviti ekonomi global yang kukuh, khususnya dalam kalangan rakan dagang utama negara. 

 

Selain itu, FDI Malaysia mencatat aliran masuk bersih berjumlah RM24.7 bilion pada suku keempat menjadikan jumlah FDI 2021 melebihi RM50 bilion (2020: RM14.6 bilion), iaitu lebih tinggi daripada tahun-tahun sebelum pandemik. 

 

Melangkah ke hadapan, Tengku Zafrul berkata, inisiatif Bajet 2022 seperti program JaminKerja dengan 
peruntukan berjumlah RM4.8 bilion yang akan menjamin 600,000 pekerjaan, serta program SemarakNiaga yang bernilai RM40 bilion untuk membantu memulakan kembali perniagaan, akan menyokong lagi momentum pertumbuhan ekonomi tahun ini. 

 

Kerajaan juga, katanya, akan memantau rapi sebarang tekanan inflasi terutama ke atas barangan makanan, dan memastikan langkah yang sewajarnya dilaksanakan bagi mengurangkan kebimbangan rakyat terhadap kelangsungan hidup.

 

Beliau menegaskan, kerajaan akan terus mengutamakan kesejahteraan rakyat, justeru, usaha untuk mengurangkan ancaman COVID-19, serta pemulihan sepenuhnya daripada kesan banjir kekal menjadi 
keutamaan. 

 

"Sehubungan itu, kerajaan telah bertindak secara responsif kepada keperluan yang mendesak di samping mengekalkan kebertanggungjawaban fiskal dan pelaksanaan pembaharuan yang strategik bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan dan berdaya tahan dalam jangka sederhana dan panjang," jelas beliau. - DagangNews.com