KUALA LUMPUR 10 Mac - Cahya Mata Sarawak Bhd. optimis perniagaan terasnya akan meraih manfaat daripada aktiviti pembangunan yang semakin berkembang di Sarawak, menurut Maybank Investment Bank (IB) Research.
Pada masa sama, pengeluar simen dan bahan binaan terbesar di Sarawak itu juga menjangkakan pelaburan strategiknya dalam OM Materials Sarawak (OMS) dan Malaysian Phosphate Additives (Sarawak) (MPAS) akan bermula tahun ini.
Firma itu berkata, selepas hampir 2 tahun tertangguh disebabkan isu teknikal dan pentauliahan yang diburukkan lagi dengan situasi pandemik COVID-19, loji fasa pertama MPAS akan mula beroperasi pada suku kedua ini manakala fasa pentauliahan mulai 2022 hingga awal 2023.
Bagi OMS pula, 4 daripada 16 relaunya akan ditukar tahun ini, kepada 6 relau campur yang mengeluarkan FeSi, 9 Mn Alloy dan 2 Metsi.
"Kadar pengeluaran keseluruhan ini dijangka perlahan dalam tempoh terdekat sebelum kembali pulih menjelang akhir 2022.
"Selain itu, pengurusan juga optimis perniagaan terasnya menerusi pengeluaran simen, bahan binaan dan aktiviti pembinaan akan mendapat manfaat daripada projek infrastruktur dan perumahan yang semakin meningkat," katanya dalam nota kajian.
Antara beberapa perkembangan penting daripada taklimat kewangan suku keempat bagi tahun kewangan berakhir 2021 baru-baru ini, kumpulan menjangkakan margin akan kembali pulih selepas harga simen mengalami kenaikan mulai 17 Februari.
Kumpulan juga ketika ini mempunyai nilai tender kira-kira RM1 bilion terdiri daripada kerja-kerja berkaitan Transit Pantas Autonomi Kuching, kerja tanah loji petrokimia dan projek jalan dan laluan bawah.
Melihat kepada prospek kumpulan yang positif, mendorong Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.84.
Bagaimanapun, katanya, risiko penurunannya bergantung kepada kelewatan kerja-kerja pembinaan sedia ada membabitkan pakej Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dan pelancaran projek infrastruktur utama.
"Selain itu, ketidaktentuan harga bahan mentah juga akan menjejaskan pendapatan daripada perniagaan simen, bahan binaan dan operasi dagangan," jelasnya.
Setakat 11.12 pagi ini, harga saham Cahya Mata Sarawak menokok 2 sen atau 1.8% kepada RM1.13 dengan 1.42 juta saham diniagakan. - DagangNews.com