OPV 1 diterima 27 November ini, APMM bakal tempatkan kapal ronda terbaharu di Sarawak | DagangNews Skip to main content

OPV 1 diterima 27 November ini, APMM bakal tempatkan kapal ronda terbaharu di Sarawak

OPV 1 sebelum dipasang meriam utama pada bahagian hadapan kapal.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 6 Nov - Setelah beberapa kali tertangguh, 27 November ini dikatakan sebagai tarikh penyerahan kapal ronda pesisir pertama (OPV 1) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

 

Perkara itu sepertimana diumumkan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya (Maritim) Datuk Hamid Mohd Amin semasa di Kuching, Sarawak.

 

Beliau hadir menyempurnakan majlis penutup Eksesais Maritim Perkasa Timur 2/2023.

 

OPV 1 ini akan ditempatkan di negeri tersebut sebagai usaha mempertingkatkan kawalan penguatkuasaan perairan negara, khususnya di wilayah Borneo.

 

Laksamana
Laksamana Madya (Maritim) Datuk Hamid Mohd Amin.

 

Aset berkenaan apabila diterima agensi itu akan digerakkan ke APMM Wilayah Sarawak dan berpangkalan di Kuching.

 

Turut dihantar ke sana ialah dua kapal peronda kecil iaitu KM Marudu dan KM Kimanis.

 

APMM juga akan menerima dua lagi kapal peronda daripada pasukan sahabat pada tahun hadapan yang mana sebuah daripadanya dirancang untuk dihantar ke Sarawak.

 

Ini untuk mencapai objektif APMM dalam menentukan keselamatan dan kesiapsiagaan terutamanya di perairan sebelah sana yang kaya dengan sumber petroleum dan perikanan.

 

Kapal
OPV 1 berlabuh semasa melakukan pelayaran.

 

Kru
Sebahagian daripada kakitangan dan kru yang terlibat melakukan ujian OPV 1.

 

Sebelum ini pun memang telah diketahui bahawa keutamaan dalam pembinaan tiga OPV ini bagi menjalankan rondaan di perairan Laut China Selatan.

 

Ini kerana isu keselamatan di kawasan perairan di sana serius membabitkan pencerobohan kapal pengawal pantai China.

 

Jika siap pada Mac lalu sepatutnya OPV 1 telah pun berada di sana untuk ditugaskan mengawal perairan manakala janjinya pula kapal kedua, (OPV 2) siap pada Oktober.

 

Sebaliknya, mengikut kontrak yang dimeterai pada 2017, OPV 1 perlu disiapkan pada tahun 2020 bermakna penghantaran telah pun lewat tiga tahun.

 

Meriam
Meriam Aselsan SMASH 30mm.

 

Sehingga kini juga tidak diketahui sejauh mana progress pembinaan OPV 2 dan OPV 3, cuma melalui sumber tidak rasmi dikatakan kedua-dua kapal boleh diterima selewat-lewatnya tahun hadapan.

 

Pada September lalu OPV 1 menjalani ujian di laut bagi memastikan sistem dan keupayaan kapal berkenaan mengikut standard ditetapkan.

 

Fasa ujian ini dilakukan oleh syarikat pembinanya, TH Heavy Engineering bersama pegawai dan kru APMM.

 

Ini termasuklah ujian pada sistem persenjataan utama kapal iaitu meriam Aselsan SMASH 30mm buatan Turkiye serta mesingan yang dipasang pada kiri dan kanan kapal.

 

Kapal
Lebih banyak aset-aset diperlukan untuk mengawal perairan negara terutamanya kawasan sumber ekonomi.

 

Walaupun tiada sebarang maklumat dikongsikan sama ada pihak THHE atau APMM, namun difahamkan ujian-ujian yang dijalankan ini berjalan lancar dan kapal dapat belayar dengan baik.

 

Sejak penangguhan beberapa kali untuk diserahkan, ada suara-suara kecewa pada pihak kepimpinan APMM kerana kelewatan mendapatkan OPV 1 merencatkan keperluan pasukan tersebut.

 

Ini tidaklah menghairankan kerana APMM menggalas tanggungjawab yang besar untuk mengawasi perairan negara, terutamanya kawasan yang kaya dengan sumber marin.

 

Pencerobohan nelayan asing menjarah hasil negara mencatatkan kerugian mencecah RM4. 25 bilion setiap tahun.

 

Nelayan asing juga semakin berani dan agresif bagi memastikan mereka tidak ditahan serta hasil tangkapan tidak dirampas.

 

Antara tindakan mereka ialah menyimbah minyak pada dek bot untuk membuatkan anggota APMM jatuh, membaling molotov cocktail dan besi serta memiliki kelengkapan alat komunikasi yang canggih untuk menyalurkan maklumat.

 

Justeru, melengkapkan APMM dengan aset-aset yang setanding untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut termasuklah pembinaan OPV tidak sepatutnya dilengahkan lagi.- DagangNews.com