Orang ramai dinasihat waspada khidmat tawaran tebus kredit eMADANI - MOF | DagangNews Skip to main content

Orang ramai dinasihat waspada khidmat tawaran tebus kredit eMADANI - MOF

KUALA LUMPUR 4 Dis - Kementerian Kewangan (MOF) menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan tawaran perkhidmatan penebusan tunai (cash-out) atau pemindahan 'peer-to-peer' kredit eMADANI oleh pihak tidak bertanggungjawab di platform media sosial.

 

MOF berkata, ia bagi mengelakkan penerima manfaat eMADANI daripada menjadi mangsa penipuan 'scam' serta kehilangan kredit yang diterima mereka.

 

"MOF tidak akan bertanggungjawab jika terdapat sebarang kehilangan kredit akibat daripada pemindahan 'peer-to-peer' atau penebusan tunai.

 

"Dalam pada itu, kerajaan akan mengambil langkah tegas termasuk menyekat akaun yang terbabit dan melucutkan hak kredit penerima eMADANI jika terdapat laporan bagi mana-mana kes yang membabitkan pemindahan 'peer-to-peer' atau penebusan tunai," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, program eMADANI dilancar bertujuan menggalakkan ekonomi digital dan memupuk budaya pembayaran tanpa tunai.

 

Katanya, kredit eMADANI tidak boleh digunakan antaranya bagi pemindahan 'peer-to-peer' atau penebusan tunai.

 

"Ia hanya boleh digunakan untuk pembelian secara fizikal melalui e-dompet yang terbabit iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch 'n Go eWallet atau QR DuitNow di 1.8 juta peruncit atau perniagaan di seluruh negara," katanya.

 

Tambahnya, pendaftaran program eMADANI dibuka mulai hari ini sehingga 20 Februari 2024 dan akan memanfaatkan seramai 10 juta rakyat dewasa yang layak, meliputi golongan B40 dan M40.

 

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program eMADANI dengan melayari https://manfaat.mof.gov.my/individu/eMADANI. - DagangNews.com