Orang ramai dipelawa sertai Perlumbaan Maya Michelin 2021, hadiah RM70,000 menanti! | DagangNews Skip to main content

Orang ramai dipelawa sertai Perlumbaan Maya Michelin 2021, hadiah RM70,000 menanti!

KUALA LUMPUR 8 Jun – Michelin Malaysia melancarkan Siri Perlumbaan Maya MICHELIN 2021 yang sulung, sebuah pertandingan e-Perlumbaan yang akan berlangsung pada bulan Jun hingga Julai.

 

Bagi mereka yang berminat, mulai hari ini sehingga 27 Jun boleh mendaftar ujian masa. Seramai 94 peserta terbaik dengan catatan masa paling pantas akan melalui Sesi Pengesahan, dan kemudian menyertai perlumbaan dalam Pusingan Kejohanan.

 

Pusingan Kejohanan inilah peserta berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah menarik bernilai RM70,000, termasuk ganjaran berupa tayar kereta penumpang dan barangan Mchelin serba eksklusif.

 

Siri Perlumbaan Maya Michelin 2021 merupakan langkah pertama Michelin dalam industri e-sukan tempatan, mencerminkan hala tuju baharu jenama ini dalam menjulang keinklusifan mobiliti – “Motion for Life”.

 

Kini perlumbaan ini dibuka kepada orang ramai untuk mendaftar ujian masa masing-masing.  Siri Perlumbaan Maya Michelin 2021 akan berlangsung secara eksklusif di Gran Turismo Sport, dan merupakan acara e-Perlumbaan rasmi yang disokong oleh Persatuan Permotoran Malaysia (MAM).

 

Pengarah Urusan Michelin Malaysia, Singapura dan Brunei, Olivert Biggart berkata, sebagai penyokong aktif industri e-sukan dan permainan video di persada global, pihaknya juga berbangga untuk meneruskan sokongan di peringkat tempatan menerusi Siri Perlumbaan Maya Michelin yang pertama di Malaysia.

 

“Dengan penularan pandemik berskala global yang membataskan pergerakan kita di luar, kami ingin menggalakkan rakyat Malaysia – yang memainkan peranan mereka dengan menyahut seruan kerajaan untuk duduk di rumah dan menjaga keselamatan diri serta orang lain – supaya mengambil bahagian dalam inisiatif ini bersama kami dari keselesaan rumah masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sebagai rakan penaung rasmi bagi pertandingan seperti Gran Turismo Championships (Berpiawaian FIA), MotoGP™ eSport Championship dan banyak lagi, Michelin bergiat aktif dalam arena perlumbaan simulasi di peringkat global.

 

Michelin juga merupakan rakan penaung rasmi bagi acara Le Mans 24 Hours Virtual pada tahun lalu, yang telah menyaksikan sebuah grid dengan 50 kereta lumba jenis Prototaip dan GT memanfaatkan produk Michelin bagi edisi virtual acara perlumbaan Le Mans 24 Hours – turut hadir dengan simulasi pelbagai cuaca dan strategi tayar perlumbaan yang sebenar.

 

“Berslogankan ‘Motion for Life’, Michelin sedar bahawa keistimewaan yang dinikmati dalam kehidupan kita adalah berpaksikan interaksi sosial dengan insan lain; dan berlatarkan pandemik semasa, kami terus berikhtiar untuk mencari kaedah berinteraksi yang baharu agar kita dapat menjalin dan merapatkan hubungan sesama kita, walaupun menerusi platform virtual,” jelas Biggart.

 

Michelin

 

Siri Perlumbaan Virtual MICHELIN 2021 Kini Dibuka

Dibuka kepada orang ramai, pertandingan Siri Perlumbaan Maya Michelin 2021 akan berlangsung dalam tiga fasa sepanjang tempoh enam minggu yang akan datang – bermula dengan pendaftaran ujian masa yang dibuka pada hari ini sehingga 27 Jun, 11:59 malam.

 

Seramai 94 peserta terbaik dengan catatan masa paling pantas di litar, Sardegna Road Track A II menggunakan BMW M6 GT3 M Power yang dilengkapi dengan tayar medium perlumbaan akan mara ke Sesi Pengesahan.

 

Setelah fasa pengesahan selesai (30 Jun hingga 6 Julai), para peserta akan dibahagikan mengikut kumpulan untuk menyertai Pusingan Kejohanan Siri Perlumbaan Maya Michelin 2021. Peringkat Pusingan akan berlangsung sepanjang dua minggu yang selanjutnya – 10 & 11 Julai serta 17 & 18 Julai.

Michelin

 

Siri Perlumbaan Virtual MICHELIN 2021 dibuka untuk semua penduduk di Malaysia, dan para peserta berpeluang untuk membawa pulang pelbagai hadiah eksklusif dalam kategori-kategori yang disenaraikan ini:  

 

Michelin

Peringkat Pusingan Kejohanan akan disiarkan secara langsung dan warga umum boleh menonton aksi Siri Perlumbaan Maya Michelin 2021 di strim di https://www.facebook.com/MichelinMalaysia iaitu laman rasmi Michelin. - DagangNews.com