Orang ramai harap tempoh diskaun saman 80% akan dilanjutkan hingga hujung tahun | DagangNews Skip to main content

Orang ramai harap tempoh diskaun saman 80% akan dilanjutkan hingga hujung tahun

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Dis - Orang ramai berharap kerajaan akan melanjutkan tempoh pelaksanaan diskaun saman sebanyak 80% hingga hujung tahun ini bagi memberi lebih masa buat mereka yang tidak berkesempatan untuk melunaskan saman tertunggak mereka.

 

Ada pengunjung Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) sanggup berbaris seawal 7 pagi untuk melunaskan saman mereka di kaunter-kaunter yang disediakan di Dewan Lima Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

 

Seorang pengunjung, Khairul izwan kamaruddin, 27, yang bekerja sebagai pemandu mengakui mula beratur seawal pukul 8 pagi demi mendapatkan potongan harga istimewa yang disediakan kerajaan sepanjang empat hari program itu berlangsung.

 

Beliau berharap agar kerajaan dapat menajangkan tempoh pembayaran saman itu sehingga hujung tahun bagi memudahkan orang ramai yang tidak berkesempatan untuk membuat bayaran.

 

"Memang benar kerajaan ada buat potongan harga sebelum ini tetapi maksimum 50% sahaja tetapi kali ini mereka menawarkan sehingga 80%. Jadi lebih baik tempoh itu dipanjangkan," katanya.

 

Seorang lagi pengunjung, Safiah Ali, 57, yang bekerja di sebuah syarikat swasta berkata, dia terpaksa mengambil cuti untuk menyertai program itu kerana pembayaran secara dalam talian tidak dapat digunakan kerana terlalu ramai menggunakan perkhidmatan itu.

 

safiah
Safiah Ali

 

"Saya lihat program ini agak singkat, lagi satu ramai masih belum dapat gaji lagi jadi susah mereka nak bayar.

 

"Memang saya harap sangat program ini akan dilanjutkan untuk tempoh yang lebih lama," katanya.
 

Pesara kerajaan, Norhasnan Saravani, 59, berkata, pada mulanya saya disuruh untuk melunaskan bayaran di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kerana orang terlalu ramai namun enggan berbuat demikian kerana sudah mula beratur pada awal pagi.

 

hasnan
 Norhasnan Saravani

 

"Saya solat subuh di sini, lepas solat saya terus beratur. Mereka ada suruh saya pergi ke IPD untuk lunaskan bayaran tetapi saya tidak mahu berbuat demikian kerana saya sudah korbankan masa saya seawal pagi di sini," katanya. - DagangNews.com