Organisasi perlu teliti pilih program latihan bersesuaian, tingkatkan produktiviti pekerja | DagangNews Skip to main content

Organisasi perlu teliti pilih program latihan bersesuaian, tingkatkan produktiviti pekerja

Pengukuran prestasi kerja dan pencapaian objektif organisasi dapat dilihat kepada peningkatan hasil produktiviti. - Gambar hiasan : Carl Heyerdahl/unsplash
Oleh NOOR SHARULNIZA SAU HAMID

LATIHAN adalah suatu proses bagi pekerja dalam sesebuah organisasi memperoleh pengetahuan, mempertingkatkan kecekapan dan kemahiran, serta mengamalkan tingkah laku yang boleh meningkatkan prestasi dalam pekerjaan semasa. 

 

Dessler (2006) mendefinisikan latihan sebagai satu aktiviti untuk meningkatkan prestasi kerja semasa dan pada masa hadapan. Program latihan boleh berlaku sama ada secara formal, atau tidak formal.

 

Seseorang pekerja yang melalui suatu proses latihan yang sistematik, boleh membentuk suatu tingkah laku di dalam pengetahuan dan kemahiran bagi membantu mencapai matlamat sesebuah organisasi. 

 

Program latihan yang dirancang oleh pengurusan sesebuah organisasi terhadap pekerja boleh mencetuskan transformasi dan menggalakkan inovasi secara aktif di dalam proses penjanaan idea, pengkomersialan idea dan penyelesaian masalah. 

 

Ia selari dengan kesimpulan kajian oleh Khan et al. (2014) bahawa organisasi yang mempunyai rancangan latihan yang sangat baik untuk pekerja boleh meningkatkan prestasi pekerja.  

 

Komitmen daripada pengurusan organisasi adalah sangat penting dalam menyediakan program latihan yang bersesuaian, bukan sahaja bertujuan mempertingkatkan produktiviti kerja tetapi sebagai satu keperluan bagi pembangunan kerjaya pekerja pada masa hadapan. 

 

 

gambar hiasan

 

 

Kepentingan program latihan

 

Dalam cabaran pekerjaan semasa, banyak organisasi yang melihat kepentingan mempunyai program latihan yang sistematik untuk meningkatkan kecekapan pekerja bagi mencapai matlamat organisasi sehingga memperuntukkan kos perbelanjaan khusus untuk latihan. 

 

Pelaburan dalam latihan didapati menghasilkan hasil organisasi seperti peningkatan produktiviti (Bartel, 1994; Knoke dan Kalleberg, 1994). 

 

Begitu juga, Noe et al. (2010), mengesahkan bahawa organisasi membelanjakan sejumlah besar wang dan masa untuk latihan bagi membantu pekerja mempelajari kecekapan berkaitan pekerjaan. 

 

Bagaimanapun, tidak dinafikan masih terdapat juga organisasi yang memandang remeh terhadap keperluan program latihan untuk pekerja kerana ia melibatkan isu seperti kos kewangan, kepakaran dan kekangan sumber yang lain.  

 

Dalam berhadapan situasi semasa yang kian mencabar, cabaran COVID-19 dan pelbagai isu kesihatan dan keluarga, kini banyak organisasi memberikan peluang kepada pekerja untuk bekerja dari rumah.  

 

Namun, sejauh manakah pencapaian prestasi pekerja dan organisasi dapat dipertingkatkan dan dipantau? 

 

Adakah pekerja bersedia dengan pengetahuan dan kemahiran yang sedia ada untuk bekerja dari rumah? 

 

Dan sejauh manakah kebersediaan organisasi memantau prestasi pekerja yang sudah pasti boleh memberikan kesan kepada pencapaian prestasi organisasi khususnya. 

 

 

gambar hiasan

 

 

Iklim yang menyokong inovasi

 

Selain itu, cabaran lain yang kerapkali menjadi topik hangat adalah penunjuk prestasi yang lemah apabila pekerja tidak mampu menyiapkan atau sikap bertangguh-tangguh terhadap suatu tugasan yang diberikan, tidak dapat memenuhi tarikh akhir, tidak mempunyai kepakaran menggunakan suatu perisian atau teknologi semasa yang boleh membantu menghasilkan hasil kerja yang produktif dan kreatif.  

 

Mengambil kira permasalahan berkaitan pembangunan dan menghasilkan pekerja yang kreatif dan inovatif pula, organisasi perlu fokus dalam mempertingkatkan kecekapan mereka khususnya dalam penggunaan peralatan, teknik, perisian dan pengurusan sumber.

 

Di samping itu, adalah penting untuk mempunyai iklim organisasi yang menyokong kepada inovasi, perubahan tingkah laku pekerja, program bimbingan seperti mentor mentee dalam kalangan pekerja serta program latihan inovasi yang boleh mencetuskan kreativiti pekerja. 

 

Merujuk kepada McShane dan Glinow (2017), prestasi pekerja yang rendah bukan sahaja disebabkan kesilapan mereka, tetapi ada kemungkinan corak kepimpinan yang tidak tepat.  

 

Pekerja adalah aset penting dalam menentukan kejayaan sesebuah organisasi. Adalah penting bagi organisasi untuk mempunyai program latihan yang bersesuaian dengan pekerja agar ia selari dengan perancangan strategik untuk dicapai, teknologi semasa, kreativiti dan inovasi pekerja. 

 

 

gambar hiasan

 

 

Mencari program latihan bersesuaian


Merujuk kepada T&D Process Mondy & Noe, 2005), proses latihan bermula dengan mengenalpasti keperluan latihan yang melibatkan objektif dan perancangan strategik oragnisasi, keperluan khusus untuk pekerja atau suatu kumpulan pekerja untuk mempunyai pengetahuan, kemahiran dan tingkahlaku serta  pengisian aktiviti latihan dalam suatu keperluan tugasan pekerja.  

 

Contohnya, merujuk kepada situasi di mana organisasi membenarkan pekerja bekerja dari rumah, isu produktiviti dan prestasi pencapaian organisasi tetap menjadi keutamaan.  

 

Bagi memastikan pencapaian objektif dan perancangan strategik, organisasi perlu mengetahui apakah bentuk latihan yang sesuai untuk pekerja bekerja dari rumah, contohnya memberikan pengetahuan dan kemahiran kepada mereka dalam bentuk kemahiran menggunakaan job support tools (google, one drive dsb), analysis tools serta pengetahuan lain bagi membentuk tingkah laku yang positif dan memberikan impak terhadap prestasi organisasi.  

 

Antara kaedah yang boleh digunakan dalam mengenalpasti keperluan latihan ini adalah penilaian prestasi kakitangan, analisis ke atas keperluan pekerja (training needs identification), analisis organisasi dan pandangan pekerja.

 

Kesimpulannya, organisasi yang menitik beratkan kepentingan latihan dan bersedia memperuntukkan jumlah perbelanjaan sebagai pelaburan, dan disokong pula dengan iklim organisasi yang positif sudah pasti dapat membantu mengurangkan masalahan prestasi dalam kalangan pekerja dan mempertingkatkan produktiviti melalui kreativiti dan inovasi. 

 

Pengukuran prestasi kerja dan pencapaian objektif organisasi dapat dilihat kepada peningkatan hasil produktiviti, keuntungan yang diperolehi, kepuasan bekerja, penghasilan produk baharu atau peningkatan prestasi individu.  - DagangNews.com

 

Penulis ialah Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Pentadbiran, Universiti Teknologi MARA Cawangan Terengganu, Kampus Dungun