Tan Ming Luk
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 23 April - OYO sedia menawarkan hotel-hotelnya kepada syarikat untuk digunakan sebagai kediaman sementara bagi para pekerja mereka di Malaysia ekoran peningkatan bilangan kluster tempat kerja COVID-19 di Malaysia.
Langkah itu selaras dengan pewartaan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja) 2021 (Akta 446) yang memerlukan asrama pekerja mematuhi standard ditetapkan oleh Jabatan Tenaga Kerja di seluruh negara, menurut sebuah kenyataan oleh OYO.
Jelas syarikat hospitaliti itu, tawaran berkenaan susulan kejayaan program rintis di antara OYO dan beberapa syarikat multinasional termasuk Panasonic dan Cadbury yang menggunakan hotel-hotel OYO sebagai kediaman sementara untuk para pekerja mereka di kawasan yang mencatatkan jumlah kes Covid-19 yang tinggi.
Ketua OYO Malaysia, Tan Ming Luk berkata, OYO memikul tanggungjawab dalam memastikan mereka yang memerlukan ruang kediaman bersih dan selamat mendapat akses kepada kemudahan tersebut.
“Kita sedar bahawa kluster tempat kerja, terutama sekali dalam kalangan mereka yang tinggal di rumah pekerja, menjadi kebimbangan utama.
“Hotel-hotel bajet seperti yang terdapat di dalam rangkaian OYO bersedia untuk memenuhi keperluan kediaman pekerja bagi memastikan penjarakan fizikal yang mencukupi dapat dipatuhi," ujar beliau.
Katanya, dengan rangkaian luas merangkumi lebih daripada 18,000 bilik di 75 bandar dan pekan di seluruh Malaysia, pengendali perniagaan pasti dapat mengakses sebuah hotel OYO yang berdekatan untuk dijadikan kediaman sementara para pekerja.
Selain daripada bekerjasama dengan sektor swasta, OYO terus memacu kerjasama awam swasta di Malaysia dan baru-baru ini telah dipilih oleh Jabatan Tenaga Kerja di Johor bagi menyediakan penginapan sementara untuk para pekerja di Masai dan Plentong.
“Industri hospitaliti sentiasa sedia membantu komuniti kita pada saat memerlukan, termasuk sepanjang pandemik ini, dan kami komited untuk terus berbuat demikian. Kami berharap untuk memacu kerjasama awam swasta bagi menyokong fasa pemulihan yang seterusnya, semasa seluruh negara saling berpadu tenaga bagi mengatasi cabaran ini.
“Usaha kami mencerminkan budaya serta nilai organisasi kami, di mana kami berharap dapat menggalakkan pengendali hotel bajet lain di Malaysia untuk bersama-sama menyokong usaha Kementerian Kesihatan mengurangkan jumlah kluster tempat kerja di negara ini,” jelas Ming Luk. – DagangNews.com