PAC minta SPRM siasat `bail-out' pengambilalihan Sistem AES | DagangNews Skip to main content

PAC minta SPRM siasat `bail-out' pengambilalihan Sistem AES


KUALA LUMPUR 24 Nov - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyifatkan kos pengambilalihan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) oleh Lembaga Tabung Angkata Tentera (LTAT) sebagai satu tindakan `bail-out' atau menyelamat secara langsung oleh kerajaan.

 

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu meneliti semula dan membuat siasatan terhadap isu  yang berbangkit dalam Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).

 

``Ini termasuk laporan PAC bagi melihat sama ada terdapat mana-mana individu yang terbabit dalam penerimaan ‘kick-back’ dalam proses pengambilalihan AES oleh
LTAT,'' katanya dalam satu kenyataan di sini.

 

Wong berkata, kos pengambilalihan oleh LTAT berjumlah RM555 juta adalah keterlaluan dan sangat tinggi.

 

''Nilai tersebut tidak mengikuti hasil ‘due diligence’ (kaedah penilaian wajar) yang dilaksanakan KPMG (syarikat audit) yang mana nilai maksimum adalah RM251 juta sahaja.

 

''Perkara itu merupakan antara  rumusan dibuat PAC hasil daripada prosiding berhubung projek AES di bawah Kementerian Pengangkutan yang bermula pada 16 Nov 2020,” katanya.

 

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh
                               Pengerusi PAC, Wong Kah Woh

 

 

PAC juga merumuskan terma kontrak khasnya berkaitan fi perkhidmatan yang harus dibayar kepada syarikat konsesi tidak memihak malah merugikan kerajaan sementara jumlah bayaran pampasan kerajaan pada 2019 kepada LTAT adalah RM668.9 juta.

 

Wong berkata, keputusan melaksanakan AES secara penyumberluaran kepada syarikat swasta bagi penguatkuasaan trafik adalah tidak wajar dan sepatutnya dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).



Beliau berkata pandangan oleh Jawatankuasa Projek AES yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu supaya projek berkenaan dilaksanakan sendiri
kerajaan tidak diambil kira.

 

Selain itu, katanya arahan kerajaan pada 2014 untuk Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengambil alih syarikat konsesi ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd merupakan satu tindakan ‘bailout’ (menyelamat) secara tidak langsung oleh kerajaan.

 

Justeru, PAC mengesyorkan kepada kerajaan supaya memastikan semua terma dalam mana-mana perjanjian konsesi tidak merugikan kerajaan.

 

Pada 2014, LTAT telah dijemput oleh kerajaan untuk mengambil alih projek AES daripada kedua-dua syarikat terbabit yang dianugerahkan projek itu pada mulanya. - DagangNews.com