KUANTAN 31 Mac - Kerajaan Pahang memetrai perjanjian persefahaman dengan Alliance Steel (M) Sdn. Bhd. (ASSB) berhubung fasa kedua pembesaran kilang seluas 101.2 hektar di Gebeng di sini, membabitkan nilai pelaburan RM5 bilion.
Pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak mewakili kerajaan negeri manakala ASSB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Steve Hu Jiulin dan disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
ASSB adalah pelabur pertama di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) di Gebeng dan juga kilang keluli pertama di Asia Tenggara yang mengadaptasi teknologi proses lengkap dalam pembuatan dan pengeluaran besi dan keluli.
Menerusi kenyataan media, projek fasa kedua membabitkan pembesaran kilang dengan dilengkapi teknologi tinggi dan moden serta gudang bahan mentah.
Ia dijangka dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran produk besi dan keluli yang juga antara produk perdagangan eksport utama Pahang, daripada 3.5 juta tan kepada 10 juta tan setahun dengan penambahan produk plat keluli.
Projek fasa kedua juga dijangka dapat menyediakan 3,000 peluang pekerjaan dengan 80 peratus daripada adalah untuk rakyat tempatan, lapor Bernama.
Kerajaan Pahang menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) pelaburan Pahang berjumlah RM18 bilion tahun ini, selepas berjaya menarik pelaburan RM10.5 bilion tahun lepas dengan RM9.8 bilion daripadanya merupakan pelaburan antarabangsa. - DagangNews.com