Pakar Pertanian UPM saran penggunaan benih berkualiti tingkatkan hasil pengeluaran kelapa | DagangNews Skip to main content

Pakar Pertanian UPM saran penggunaan benih berkualiti tingkatkan hasil pengeluaran kelapa

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Agensi pertanian perlu menyemak semula polisi guna tanah penanaman bagi meningkatkan kawasan penanaman kelapa dalam usaha meningkatkan bekalan pada masa akan datang.

 

Pensyarah Kanan Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Khairil Mahmud berkata, menurut Jabatan Statistik, sejumlah 34% bekalan kelapa diimport daripada Indonesia dan Filipina bagai memenuhi permintaan semasa hari raya.

 

Namun begitu, beliau berkata, terdapat pelbagai cabaran dihadapi industri kelapa pada masa kini yang menyumbang kepada pengurangan hasil antaranya produktiviti rendah dan pengurangan keluasan kawasan penanaman.

 

Jumlah keluasan bertanam kelapa bagi Semananjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah 55,664 hektar dengan jumlah pengeluaran sebanyak 452,102 tan pada 2020.

 

"Kadar tahap SSL (Self Sufficient Level) semasa kelapa di Malaysia adalah 66.6%.  Bagi meningkatkan SSL daripada 66.6% kepada 80% menjelang 2040, agensi pertanian perlu melihat polisi guna tanah penanaman bagi menambah kawasan bertanam kelapa.

 

“Ini bagi memelihara kawasan guna tanah dari sebarang penukaran kepada status aktiviti pembangunan dan aktiviti pertanian lain. Selain itu penggunaan varieti kelapa yang berkualiti dan berhasil tinggi seperti Matag akan dapat meningkatkan pengeluaran kelapa di samping memberi keuntungan kepada pengusaha," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Khairil berkata, isu-isu seperti penukaran status tanah penanaman kelapa kepada aktiviti lain seperti penanaman kelapa sawit dan juga ancaman pembangunan telah menyebabkan berlakunya penurunan keluasan bertanam kelapa di Malaysia.

 

“Dianggarkan terdapat penurunan keluasan bertanam kelapa sebanyak 22% dari 71,856 hektar (2013) kepada 55,664 hektar (2020). 

 

"Sekiranya penurunan ini berterusan, ia akan menjejaskan bekalan kelapa di negara kita sekaligus menambah kebergantungan kepada kelapa import,” katanya.

 

Beliau berkata, insentif dan sokongan daripada pelbagai pihak perlu bagi menggalakkan pembangunan industri kelapa. 

 

Ia merangkumi program secara berstruktur, galakan kepada penglibatan agropreneur muda selain penggunaan teknologi serta bekalan benih varieti kelapa berkualiti bagi menjamin peningkatan pengeluaran kelapa negara.

 

“Penghasilan benih kelapa yang tulen dan berkualiti seperti Matag perlu dipertingkatkan. Agensi penyelidikan seperti MARDI, UPM dan DOA perlu memainkan peranan dalam menjalankan penyelidikan dalam penghasilan varieti yang berkualiti. 

 

“Kelapa Matag misalnya merupakan salah satu varieti kelapa yang berkuali dan berhasil tinggi. Kelapa Matag adalah adalah kacukan Malayan Red Dwarf dan tananam dilihat cepat membesar dalam tempoh dua tahun boleh mengeluarkan buah dan pokoknya tidak tinggi. 

 

“Agensi seperti Jabatan Pertanian perlulah memastikan bekalan benih seperti kelapa matag adalah tulen dan berkualiti serta mencukupi. Ketulenan benih kelapa penting bagi memastikan kelapa yang ditanam berkualiti dan berproduktiviti tinggi,” katanya. - DagangNews.com