Pameran Udara Dubai tanpa penyertaan Israel, firma pertahanan Zionis tarik diri saat akhir | DagangNews Skip to main content

Pameran Udara Dubai tanpa penyertaan Israel, firma pertahanan Zionis tarik diri saat akhir

Pameran Udara Dubai merupakan pameran industri aeroangkasa berprestij.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 15 Nov - Acara aeroangkasa berprestij, Pameran Udara Dubai 2023 (Dubai Air Show) di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang membuka tirai sepi tanpa penyertaan industri pertahanan Israel.

 

Ini merupakan antara pameran dan pertunjukan udara terbesar serta paling berjaya di dunia selain menghubungkan profesional industri aeroangkasa global.

 

Pameran Udara Dubai juga disifatkan sebagai gambaran kepada masa depan industri apabila mengetengahkan pesawat komersial dan ketenteraan selain teknologi mutakhir.

 

Edisi kali ini menyaksikan penyertaan kira-kira 1,400 pempamer daripada 95 negara dengan lebih 180 buah pesawat serta 9 forum industri.

 

Dubai
Pavilion firma pertahanan Israel kosong setelah menarik diri pada saat akhir.

 

Bagaimana pun, penganjuran kali ini di tengah-tengah konflik di Gaza dipercayai antara sebab industri pertahanan Israel menarik diri.

 

Dua firma negara itu, Israel Israel Aerospace Industries (IAI) dan Rafael Advanced Defence Systems tidak hadir menyaksikan ruang pameran masing-masing kosong.

 

Rafael juga menaja mesyuarat komander tentera udara yang akan diadakan di sebuah hotel mewah di Dubai.

 

Menjadi amalan biasa pada mana-mana pameran atau forum pertahanan untuk acara persidangan atau mesyuarat ketua-ketua tentera ditaja syarikat pertahanan.

 

Dubai

 

Dubai
Pesawat Eurofighter Typhoon yang dipamerkan pada Pameran Udara Dubai.

 

Firma Israel mula mengambil bahagian secara rasmi dalam pameran ini pada edisi 2020 lalu apabila menjalin hubungan rasmi dengan UAE.

 

Bagaimana pun, Elbit System menerusi anak syarikatnya di UAE, Elbit Systems Ltd ada membuka ruang pameran.

 

Elbit System Ltd yang ditubuhkan pada tahun 2021 merupakan kerjasama kedua-dua negara bagi memacu industri pertahanan khususnya elektronik untuk angkatan tentera UAE.

 

Tahun lalu, syarikat ini diberi kontrak bernilai AS$53 juta untuk pemasangan sistem peperangan elektronik dan alat-alat lain bagi pesawat tangki A330 milik Tentera Udara UAE.

 

Dubai
Mohammad (dua dari kanan) semasa melihat kelengkapan pertahanan yang dipamerkan.

 

Dubai

 

Dalam pada itu, Pameran Udara Dubai turut menarik kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila menghadiri acara berprestij tersebut.

 

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman hadir dalam rangka lawatan kerja beliau ke Dubai.

 

Beliau telah mengambil peluang untuk melawat sekitar ruang pameran bagi melihat peralatan pertahanan dan keselamatan yang dipamerkan.

 

Pada kesempatan yang sama, beliau turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari UAE, Lt Jen Issa Al Mazrouei bagi mengeratkan lagi hubungan baik sedia ada 

 

Mengiringi beliau ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan. - DagangNews.com