Pameran Women Eco-Weavers anjuran Maybank tonjol teknik tenunan Pua Kumbu | DagangNews Skip to main content

Pameran Women Eco-Weavers anjuran Maybank tonjol teknik tenunan Pua Kumbu

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Dis - Maybank menganjurkan Pameran Women Eco-Weavers fizikal terbaharu bertajuk “Threading Hope: A Maybank Women Eco-Weavers Exhibition” buat pertama kalinya menonjolkan teknik tenunan Pua Kumbu oleh masyarakat Iban di Sarawak. 

 

Empat penenun Iban dari Rumah Gare di Sarawak akan mempamerkan kemahiran dan tekstil tenunan tangan mereka di Balai Seni, Maybank di sini untuk tempoh pameran yang bermula pada hari ini sehingga 9 Disember 2022. 

 

Ketua Pegawai Kemampanan Maybank, Shahril Azuar Jimin berkata, pameran ini bertujuan untuk mendidik pengunjung mengenai sejarah dan latar belakang Pua Kumbu.

 

“Kami ingin membantu memelihara, berkongsi dan mempamerkan nilai, teknik dan tradisi unik yang dikaitkan dengan Pua Kumbu kepada orang ramai. 

 

"Ia adalah penting untuk kita mempelajari dan menghargai pelbagai budaya di Malaysia dan pada masa sama membantu memperkasakan kebebasan kewangan wanita penenun eko ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Selain memaparkan teknik tenunan Pua Kumbu, pameran juga memperlihatkan lebih 300 produk dan tekstil dari negara lain, termasuk Kemboja, Indonesia, Laos dan Malaysia. 

 

Pengunjung juga berpeluang melihat demonstrasi anyaman, mengambil bahagian dalam tutorial dan menimba ilmu tentang seni anyaman. Pengunjung boleh membeli produk tenunan seperti selendang, kain, dompet, beg tangan, sabun dan topeng muka dengan harga antara RM30 hingga RM3,000.

 

 

maybank

 

 

maybank

 

 

Sementara itu, Maybank telah melancarkan buku bertajuk “Weaving Communities, Transforming Lives: An ASEAN story”, yang menyatukan naratif, latar belakang dan cerita daripada pihak yang telah menjayakan program Maybank Women Eco-Weavers di seluruh Malaysia, Indonesia, Kemboja dan Laos. 

 

Buku tersebut memberikan pembaca suatu pengalaman visual proses tenunan tekstil setiap negara menggunakan kanta yang berbeza.

 

 

maybank
(Dari kiri) Ahli Lembaga Pengarah Maybank, Datuk Zulkiflee Abbas Abdul Hamid, Shariffuddin Khalid, Datin Paduka Marina Mahathir, Pengasas Bersama Tanoti House, Jacqueline Fong; Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa dan Shahril Azuar Jimin

 

 

Ketika ini, Maybank sedang berusaha untuk menghasilkan versi e-buku untuk buku itu yang akan didedahkan kepada umum menjelang awal 2023. 

 

Turut hadir pada majlis pelancaran itu adalah Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani; Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Maybank, Datin Paduka Marina Mahathir dan Ahli Lembaga Pengarah Maybank.

 

Pameran ini akan dibuka kepada orang ramai dari pukul 9 pagi hingga 5 petang (Isnin hingga Jumaat). Kemasukan ke Balai Seni Maybank adalah percuma. - DagangNews.com