Panasonic hanya tutup dua jabatan pembuatan produk di kilang Shah Alam | DagangNews Skip to main content

Panasonic hanya tutup dua jabatan pembuatan produk di kilang Shah Alam

KUALA LUMPUR 1 Jun - Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd berkata ia hanya akan menutup dua jabatan pembuatan produk di Shah Alam dan tidak bercadang menutup operasi lain di Malaysia.

 

Syarikat itu mengeluarkan kenyataan dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini bagi menjelaskan laporan berita bahawa ia akan menutup beberapa operasi di Malaysia tahun ini yang akan menyebabkan ratusan pekerjanya menganggur.

 

"Kami menyelesaikan proses rasionalisasi dan penstrukturan semula perniagaan pada 31 Mac. Ini selaras dengan penutupan dua jabatan pembuatan produk di kilang Shah Alam 1 (SA1) sahaja," jelasnya dalam kenyataan tersebut.

 

Pengeluar peralatan rumah elektrik itu menegaskan bahawa tiada loji atau jabatan lain terjejas selain daripada yang dinyatakan.

 

Panasonic berkata sebilangan pekerja dalam jabatan yang terjejas diberi pilihan Skim Pemisahan Bersama (MSS) dan sebahagian besar daripada mereka secara sukarela memilih peluang tersebut.

 

“Sebagai sebuah organisasi yang berdedikasi untuk mengekalkan budaya hormat-menghormati dan tanggungjawab, kami telah melibatkan diri dengan pekerja dalam perkara ini sambil memberikan bantuan dan sokongan sepanjang proses itu.

 

"Semasa pelaksanaan rasionalisasi ini, pekerja yang memilih MSS telah menerima pakej pampasan adil dan saksama, melebihi norma industri," tambahnya.

 

Bagi baki pekerja yang tidak memilih MSS, Panasonic telah menawarkan untuk dipindah ke jabatan lain yang berkaitan dalam syarikat, dalam jawatan bersesuaian dengan set kemahiran dan potensi pertumbuhan mereka.

 

Kumpulan itu berkata ia melihat cara terbaik menyesuaikan dan mengemudi untuk memaksimumkan kecekapan perniagaan dan mengembangkan syarikat secara mampan memandangkan persekitaran semakin kompleks.

 

"Strategi yang dijalankan telah difikirkan dengan teliti dan sebarang keputusan mengenai tenaga kerja kami dibuat dengan pertimbangan terbaik," katanya.

 

Kumpulan itu menjelaskan bahawa tindakan undang-undang pada 2016 dan 2017 – melibatkan bekas pembekalnya, Pengarah Eksekutif, Chen Ah Huat dan 15 kakitangannya – tidak berkaitan dengan pelaksanaan rasionalisasi dan penstrukturan semula perniagaan.

 

Dalam makluman berasingan, Panasonic telah melantik Takashi Sugihara sebagai Pengarah Urusan baharu berkuat kuasa 1 Jun bagi menggantikan Kenji Kamada.

 

Menurut kumpulan itu, Sugihara mempunyai pengalaman bekerja dengan Panasonic lebih daripada 35 tahun. -DagangNews.com