‘Panduan Sektor Arang Batu’ pacu kemampanan kewangan CIMB | DagangNews Skip to main content

‘Panduan Sektor Arang Batu’ pacu kemampanan kewangan CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 8 Dis. - CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) terus memperkukuh komitmennya ke arah kewangan mampan dan tindakan iklim menerusi pengenalan Panduan Sektor Arang Batu atau Coal Sector Guide

 

Mula dibangunkan pada November 2019, panduan itu menetapkan komitmen CIMB untuk mengeluarkan arang batu daripada portflionya menjelang 2040, sejajar matlamat 1.5 darjah Celcius dalam Perjanjian Iklim Paris (Paris Climate Agreement).

 

Panduan berkenaan akan berkuatkuasa pada tahun hadapan dan digunapakai di seluruh pasaran operasi CIMB yang bertindak untuk melarang pembiayaan korporat peringkat aset atau umum dalam lombong arang batu termal baharu dan loji janakuasa arang batu serta pengembangan, kecuali jika terdapat komitmen sedia ada. 

 

Mohd. Nasir Ahmad
Mohd. Nasir Ahmad

 

Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Mohd. Nasir Ahmad berkata, panduan itu merupakan tonggak utama seterusnya dalam perjalanan kelestarian syarikat itu. 

 

Sebagai anggota pengasas Prinsip Inisiatif Kewangan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP FI) untuk Perbankan Bertanggungjawab dan sejajar dengan Komitmen Kolektif terhadap Tindakan Iklim (CCCA), CIMB sangat yakin bahawa keuntungan dan tujuan saling berkait rapat. 

 

“Oleh itu, .kami berusaha untuk mengumumkan lebih banyak langkah-langkah yang berkaitan kelestarian, khususnya melibatkan unjuran pembiayaan impak positif kami, memandangkan kumpulan syarikat terus membangkitkan perubahan iklim dan isu mendesak lain yang dihadapi masyarakat hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Menerusi penerbitan panduan itu, CIMB menjadi bank pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang tekad mengeluarkan arang batu daripada portfolionya. 

 

Langkah itu juga mendukung agenda Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membangunkan ketahanan iklim dalam sektor kewangan Malaysia serta melibatkan Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3), Rangka Kerja Penilaian Impak VBI (VBIAF)  dan Perubahan Iklim dan Prinsip berasaskan Taksonomi.

 

Pada awal tahun ini, CIMB juga merupakan bank pertama di Malaysia yang mengumumkan tawaran sustainability linked loan’ (SLL).

 

“Kami maklum akan peranan syarikat sebagai perantara kewangan meletakkan kami dalam kedudukan penting memandangkan keputusan pembiayaan dan tawaran kewangan dapat membantu membentuk perjalanan pembangunan ekonomi jangka masa panjang. 

 

“Terbitan panduan itu merupakan sebuah tonggak yang menggambarkan perkembangan berterusan kami terhadap pembiayaan mampan,” tambah beliau. - DagangNews.com