Panglima Tentera Darat raikan induksi Graduan Ke-79 Kursus USACGSC Fort Leavenworth | DagangNews Skip to main content

Panglima Tentera Darat raikan induksi Graduan Ke-79 Kursus USACGSC Fort Leavenworth

USACGSC merupakan institusi pengajian ketenteraan berprestij di AS sejak ditubuhkan pada 1881.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 25 Sept - Diplomasi pertahanan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) turut dikukuhkan dengan penghantaran pegawai bagi mengikuti pengajian di institusi ketenteraan di sana.

 

Antaranya ialah U.S. Army Command and General Staff College (USACGSC) di Fort Leavenworth, Kansas yang mana ia telah melahirkan ramai kepimpinan kanan dalam Tentera Darat (TD).

 

USACGSC merupakan institusi pengajian ketenteraan yang berprestij di AS sejak ditubuhkan pada tahun 1881 dan turut membuka pintu kepada pegawai negara sahabat.

 

Sehingga kini seramai 79 pegawai TD berpangkat Mejar telah menamatkan pengajian dalam bidang pengurusan pemerintahan dan staf di sana.

 

Fort
USACGSC Fort Leavenworth, Kansas.

 

Kapal
Mohammad Hafizuddeain (kanan) dan Tengku Muhammad Fauzi pada majlis Induksi Graduan USACGSC.

 

Terbaru, majlis Induksi Graduan Kursus USACGSC Fort Leavenworth ini telah diadakan di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan. 

 

Kali ini, pegawai yang diraikan adalah Graduan TD Ke-79 iaitu Mejar Syed Helmy Sufry Syed Yunus setelah menamatkan pengajian pada 9 Jun lalu.

 

Pada masa sama, majlis ini juga untuk meraikan Hafizuddeain sebagai graduan keempat menyandang jawatan PTD.

 

Kali terakhir graduan USACGSC menyandang jawatan tertinggi dalam TD ini ialah Jeneral (B) Tan Sri Mohd Shahrom Nordin kira-kira 20 tahun lalu.

 

Graduan
Muhammad Hafizuddeain dan Syed Helmy Sufry bersama pasangan masing-masing.

 

Turut diraikan adalah Lt Jen Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Timbalan PTD dan Mej Jen Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal, Panglima 10 Briged atas kenaikan pangkat mereka baru-baru ini. 

 

Tengku Muhammad Fauzi merupakan graduan Kelas 2003/2004 manakala Khairul Azmizal Kelas 2006/2007.

 

Mencatat sejarah, seramai 80 orang pegawai telah dihantar untuk mengikuti pengajian di Fort Leavenworth dari tahun 1968 sehingga 2023. 

 

Penuntut pertama adalah Lt Kol Izaidin M. R. Samsoodeen (Kelas 1968/1969). 

 

Kapal

 

Graduan

 

Kemudiannya, pada tahun 1970, Kol Dato’ Cheng Wah (Kelas 1969/1970) telah menerima Eishenhower Award sebagai graduan antarabangsa terbaik tahun 1970. 

 

Turut hadir 14 graduan yang masih berkhidmat antaranya Panglima 11 Briged, Brig Jen Shahir Hafizul Abd Rahman (Kelas 2011/2012) dan Ketua Jurutera Markas TD, Brig Jen Sharuddin Mohd Noh (Kelas 2005/2006)

 

Graduan yang telah bersara pula antaranya Lt Jen Datuk Seri Azizan Md Delin (Kelas 1993/1994) dan lapan yang lain. - DagangNews.com