Pansar peroleh kontrak RM804.7 juta bagi pembinaan Blue Line-Pakej 2 Sistem Pengangkutan Bandar Kuching | DagangNews Skip to main content

Pansar peroleh kontrak RM804.7 juta bagi pembinaan Blue Line-Pakej 2 Sistem Pengangkutan Bandar Kuching

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Pansar Berhad menerusi Perbena Emas Sdn Bhd dengan kerjasama China Road & Bridge Corporation menerima kontrak RM804.7 juta daripada Sarawak Metro Sdn Bhd bagi pembinaan Blue Line-Pakej 2 dari Stutong ke Hikmah Exchange untuk projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

 

Kumpulan itu berkata, skop kerja kontrak itu merangkumi pembinaan infrastruktur dan kerja-kerja berkaitan Blue-Line KUTS dari Stutong ke Hikmah Exchange.

 

"Ini termasuk kerja seni bina, kejuruteraan awam dan struktur, kerja mekanikal dan elektrikal, kerja luaran dan landskap untuk stesen, serta infrastruktur termasuk kerja jalan, jejambat, lintasan, pelebaran jalan, penempatan semula utiliti dan perlindungan utiliti.

 

"Kontrak ini akan berkuat kuasa mulai 3 September 2024. 

 

"Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan apabila projek berlangsung dalam tempoh kontrak," katanya.

 

Projek KUTS akan mengubah Kuching menjadi sebuah bandar yang dinamik dan berdaya saing dengan penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam yang hijau dan cekap. 

 

Sebagai sistem pengangkutan bandar berkuasa hidrogen pertama yang dilaksanakan di Malaysia, KUTS juga mencerminkan komitmen kukuh Kerajaan Sarawak terhadap tenaga hijau dan kelestarian alam sekitar. - DagangNews.com