Pantech Group diunjur catat untung bersih teras sehingga RM27 juta bagi 1QFY25, kata Phillip Capital | DagangNews Skip to main content

Pantech Group diunjur catat untung bersih teras sehingga RM27 juta bagi 1QFY25, kata Phillip Capital

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Julai - Pantech Group Holdings Bhd diunjur mencatatkan untung bersih teras antara RM24 juta hingga RM27 juta bagi suku tahun pertama berakhir 31 Mei 2024 (1QFY25).

 

Phillip Capital berkata, peningkatan itu boleh dikaitkan dengan jumlah jualan eksport lebih tinggi, disokong oleh kenaikan harga nikel baru-baru ini.

 

Katanya, ia meningkat melebihi AS$21,000 (RM98,233) bagi setiap tan, tertinggi sejak Ogos 2023 ketika mencapai jumlah AS$22,000 (RM102,817).

 

"Harga nikel menyaksikan peningkatan 30% dari Mac hingga Mei tahun ini, berikutan kebimbangan terhadap gangguan bekalan daripada New Caledonia, pengeluar nikel ketiga terbesar di dunia, ditambah dengan sekatan yang dikenakan oleh Rusia.

 

"Kami percaya ia menyebabkan pelanggan menyegerakan usaha penyimpanan semula dengan menjangkakan potensi kenaikan harga selanjutnya," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu telah mengembangkan kapasiti pembuatannya sebanyak 15%, dengan penambahan empat barisan pengeluaran keluli tahan karat baharu baru-baru ini.

 

Katanya, kapasiti baharu itu telah beroperasi sejak akhir Februari 2024, dan dijangka menampung peningkatan jumlah jualan eksport.

 

“Kami mendapati bahawa Pantech telah memperoleh kilang baharu, yang akan ditukar menjadi gudang untuk menyimpan produk pembuatannya.

 

"Pantech merancang untuk menyenaraikan dua cabang pembuatannya, Pantech Steel Industries serta Pantech Stainless & Alloy dan menyasarkan untuk meningkatkan lagi kapasiti pembuatannya sebanyak 20% hingga 25%," katanya.

 

Phillip Capital mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu RM1.42 berbanding RM1.35 sesaham. - DagangNews.com