Paos Holdings kembali catat untung bersih pada 3QFY23 sebanyak RM97,000 | DagangNews Skip to main content

Paos Holdings kembali catat untung bersih pada 3QFY23 sebanyak RM97,000

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 April - Paos Holdings Berhad kembali mencatatkan untung bersih sebanyak RM97,000 bagi suku ketiga berakhir 28 Februari 2023 (3QFY23) berbanding kerugian bersih sebanyak RM557,000 bagi suku sama ada tahun sebelumnya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, hasil kumpulan bagi suku berkenaan meningkat kepada RM153 juta berbanding RM83 juta bagi suku sama tahun sebelumnya disebabkan oleh harga minyak bahan api dan minyak sawit yang lebih tinggi, peningkatan dalam jumlah minyak bahan api serta peningkatan kadar penghunian hotel.

 

"Selaras dengan harga bahan api dan minyak sawit yang lebih tinggi, kos jualan kumpulan bagi suku semasa meningkat kepada RM152 juta daripada RM82 juta pada suku yang sama sebelumnya.

 

"Ketika Malaysia mula membuka sempadannya, operasi hotel bersepadu dan segmen pelaburan hartanah telah menunjukkan peningkatan dalam prestasinya pada suku semasa," katanya.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 28 Februari 2023 (9MFY23), hasil kumpulan meningkat 22.3% daripada 28.47 juta kepada RM34.82 juta terutamanya disebabkan oleh harga sabun yang lebih tinggi, manakala kerugian segmen pembuatan berkurangan daripada RM1.80 juta kepada RM970,000.

 

Segmen perdagangan menyaksikan keuntungan meningkat daripada RM1.12 juta kepada RM1.5 juta kesan kenaikan harga dan jumlah bahan api yang meningkat.

 

"Kerugian bagi segmen perhotelan menyusut daripada RM1.05 juta kepada RM440,000 didorong peningkatan kadar penghunian," katanya.

 

Tahun semasa kelihatan lebih menjanjikan apabila langkah lebih mantap diambil oleh kerajaan ke arah memacu ekonomi dengan peralihan negara daripada fasa pandemik kepada fasa endemik bermula 1 April 2022.

 

Bagaimanapun, keadaan ekonomi semasa terus menunjukkan keadaan perniagaan yang mencabar bagi kumpulan.

 

"Kos operasi yang lebih tinggi dari segi kenaikan kos upah, utiliti, logistik, perbelanjaan operasi lain dan juga turun naik dalam kadar pertukaran mata wang asing kekal sebagai cabaran utama Kumpulan.

 

"Usaha akan terus dilakukan dalam meningkatkan prestasi segmen masing-masing," katanya.- DagangNews.com