POKOK kelapa sawit (Elaeis guineensis Jacq.) merupakan satu daripada tanaman komoditi utama di dunia terutamanya dalam pengeluaran minyak sawit.
Keluasan keseluruhan kawasan tanaman kelapa sawit di Malaysia dianggarkan sekitar 5.6 juta hektar (MPOB, 2023) dengan majoriti kawasan tanaman kelapa sawit terletak di semenanjung Malaysia (2.5 juta hektar), diikuti oleh Sarawak (1.6 juta) dan Sabah (1.5 juta).
Tanaman kelapa sawit merupakan satu daripada penyumbang utama kepada ekonomi negara, terutamanya dalam sektor eksport minyak sawit mentah.
Untuk memastikan pertumbuhannya yang optimum dan penghasilan BTS (Buah Tandan Segar) yang tinggi serta berkualiti, pokok kelapa sawit memerlukan pelbagai jenis nutrien.
Nutrien yang mencukupi dan seimbang bukan sahaja menyokong pertumbuhan fizikal pokok, tetapi juga mempengaruhi kualiti buah sawit yang dihasilkan. Bagi memastikan pokok mendapat nutrien yang mencukupi, analisis baja adalah langkah penting dalam pengurusan pertanian.
Baja yang digunakan harus memenuhi keperluan spesifik pokok dan penggunaan baja yang tidak berkualiti atau tidak bersesuaian boleh memberi kesan negatif kepada pertumbuhan pokok serta hasil yang diperoleh.
Oleh itu, untuk mengelakkan penipuan dan memastikan penggunaan baja yang berkualiti, beberapa langkah analisis baja perlu dilakukan. Antaranya ialah:
1. Ujian Kualiti Baja
Sebelum membeli baja di kedai bahan pertanian, petani atau pekebun harus melakukan ujian kualiti untuk memastikan baja yang dibekalkan mengandungi nutrien yang tepat mengikut spesifikasi yang dijanjikan dalam label guni baja di makmal analisis pertanian yang akan dilakukan oleh Ahli kimia bertauliah.
Kos semakan kualiti ini adalah serendah RM30-RM100 bergantung kepada jenis baja seperti tunggal, campuran atau sebatian bagi setiap sampel.
2. Perbandingan dengan Standard Industri
Baja yang digunakan perlu memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh badan berwajib seperti SIRIM, Jabatan Pertanian atau organisasi industri. Penggunaan baja yang tidak mengikut standard ini boleh mengakibatkan kekurangan nutrien atau pembaziran, serta mempengaruhi hasil kelapa sawit.
Kepentingan analisis baja pertanian adalah bagi memastikan baja yang dibeli mengandungi sepenuhnya nutrien yang dijanjikan/dilabel pada guni baja tersebut merupakan salah satu dari amalan pengurusan pembajaan berkesan sebelum ditabur pada pokok.
Pokok kelapa sawit memerlukan pelbagai unsur nutrien seperti nitrogen (N), fosforus (P), kalium (K), kalsium (Ca), magnesium (Mg) dan sulfur (S), serta mikronutrien seperti boron (B), zink (Zn), tembaga (Cu) dan mangan (Mn) untuk pertumbuhan yang sihat dan pengeluaran hasil yang optimum.
Namun, kekurangan atau ketidakseimbangan nutrien dalam tanah boleh mengakibatkan pokok kelapa sawit tidak berkembang dengan baik dan seterusnya menjejaskan hasil BTS.
Oleh itu, analisis baja memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan pokok mendapat nutrien yang mencukupi dan seimbang.
Menurut kajian yang dilakukan, unsur-unsur nutrien seperti Nitrogen, Fosforus, dan Kalium adalah antara unsur yang paling penting dalam pengeluaran pokok sawit atau dipanggil makronutrien.
Nitrogen misalnya berperanan dalam meningkatkan pertumbuhan vegetatif pokok sawit, manakala Fosforus dan Kalium berfungsi dalam pembentukan bunga dan buah sawit yang berkualiti tinggi.
Dengan menjalankan analisis baja yang teliti, petani atau pekebun dapat mengenal pasti jenis baja yang diperlukan serta jumlah yang tepat untuk disalurkan kepada pokok kelapa sawit berdasarkan keadaan tanah dan keperluan tanaman.
Kajian oleh Goh et al. (1999) menunjukkan bahawa penggunaan baja yang disesuaikan dengan keperluan tanah dapat meningkatkan hasil buah kelapa sawit secara signifikan, di samping mengurangkan pembaziran baja dan kos pengeluaran.
Dalam kajian ini, penyesuaian komposisi baja mengikut keperluan tanah dan keperluan sebenar pokok melalui persampelan daun dan tanah membantu meningkatkan penyerapan nutrien oleh pokok kelapa sawit yang membawa kepada peningkatan hasil dan kualiti buah.
Di samping itu, khidmat pakar pertanian seperti ahli agronomi memainkan peranan yang sangat penting dalam penentuan baja dan kadar yang terbaik untuk pokok sawit.
Mereka yang berpengalaman ini dapat memberikan khidmat nasihat mengenai jenis baja yang sesuai mengikut keadaan tanah dan peringkat pertumbuhan pokok kelapa sawit.
Mereka juga dapat membantu menentukan kadar baja yang optimum berdasarkan hasil analisis tanah dan baja di makmal, serta memastikan baja yang digunakan tidak berlebihan atau kurang.
Dengan bantuan ahli agronomi, petani atau pekebun dapat mengelakkan penggunaan baja yang berlebihan yang bukan sahaja membazirkan sumber tetapi juga boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar.
Sebagai contoh, dengan menghantar sampel baja ke makmal analisis pertanian, ahli agronomi dapat menentukan kandungan unsur nutrien dalam baja serta tahap kesesuaiannya untuk tanah di ladang kelapa sawit.
Ahli agronomi juga boleh mengesyorkan kadar pembajaan yang sesuai untuk memastikan pokok sawit mendapat nutrien yang diperlukan untuk menghasilkan buah yang berkualiti tinggi.
Kajian oleh Foster et al. (1988) menunjukkan bahawa kekurangan nutrien tertentu seperti Nitrogen dan Kalium boleh memberi kesan negatif kepada pengeluaran buah sawit. Oleh itu, dengan khidmat Ahli agronomi yang berpengetahuan, petani atau pekebun dapat memastikan program pembajaan yang dijalankan adalah lebih berkesan yang seterusnya dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti buah sawit.
Dengan penggunaan teknologi terkini dalam analisis baja dan pengurusan tanaman turut membantu petani atau pekebun kecil mendapatkan data yang lebih tepat dan boleh dipercayai.
Teknologi seperti sistem maklumat geografi (GIS) dan sistem pemantauan tanah yang canggih membolehkan Ahli agronomi memberi cadangan yang lebih tepat dan cepat mengenai jenis baja, masa pembajaan serta kadar baja yang optimum berdasarkan keputusan analisis daun dan tanah di makmal.
Dengan pendekatan ini, petani atau pekebun bukan sahaja dapat memastikan pertumbuhan pokok sawit yang sihat tetapi juga memaksimumkan hasil dan kualiti buah kelapa sawit.
Secara keseluruhannya, analisis baja yang tepat oleh ahli kimia bertauliah dan khidmat nasihat dari ahli agronomi yang berkelayakan adalah kunci untuk memastikan pokok kelapa sawit mendapat nutrien yang seimbang sepanjang tempoh pertumbuhannya di kebun mahupun ladang.
Dengan gabungan kedua-duanya, petani atau pekebun dapat mengurangkan pembaziran, mengoptimumkan penggunaan baja dan memastikan pengeluaran buah kelapa sawit yang berkualiti tinggi.
Dengan penerapan pendekatan berasaskan data dan sains pertanian dalam pengurusan ladang sawit, petani atau pekebun dapat meningkatkan hasil tanaman secara mampan dan berdaya saing dalam industri minyak sawit global ini. - DagangNews.com