Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Sept. - CGS-CIMB Research (CGS-CIMB) mendapati pasaran indeks KLCI cenderung menunjukkan trend negatif pada bulan ini dengan pulangan negatif iaitu 0.6% sejak 10 tahun lalu dan 0.8% sejak 40 tahun lalu.
Prestasi indeks pasaran Malaysia itu dipengaruhi oleh lima perkara yang bakal berlaku pada bulan ini.
Ini termasuklah Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) di Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka memotong 25 mata asas (bps) lagi dalam kadar dasar semalaman (OPR) pada 10 September ini.
Seterusnya, KLCI didorong oleh pendedahan penemuan pasukan tugas khas Felda, keputusan pilihan raya negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini, serta perjumpaan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS).
Dalam masa sama, pelabur juga sedang memerhati pelaksanaan moratorium pinjaman berakhir 30 September ini yang dijangka memberi kesan ke atas trend pasaran saham Malaysia.
“Kami mengekalkan ramalan paras KLCI pada akhir tahun ini iaitu 1,520 berdasarkan nisbah harga kepada perolehan (P/E) sebanyak 16x.
“Bagi tiga pilihan CGS-CIMB, kami menggantikan Top Glove Corporation Berhad dengan Public Bank Berhad dan Yinson Holdings Berhad dengan Malaysian Pacific Industries, manakala Tenaga Nasional Berhad dikekalkan.
“Pemilihan ini menggambarkan pendapat kami terhadap pelabur yang cenderung menukar kepada sektor kitaran sekali gus dijangka memanfaatkan pemulihan ekonomi,” jelas analisis CGS-CIMB.
Pada Ogos 2020, prestasi baik yang ditonjolkan oleh KLCI sejak empat bulan lalu terhenti susulan pelabur tempatan dan asing melaksanakan pengambilan untung (profit-taking) dalam sektor perbankan dan Hartalega yang merupakan antara syarikat sarung tangan getah terbesar di Malaysia.
KLCI jatuh 78 mata (turun 4.9% berbanding Julai) dan menutup pada paras 1,525.
Dalam pada itu, saham aktiviti perdagangan harian peserta runcit meningkat 5% pada Ogos. Mereka juga satu-satunya pembeli ekuiti bersih sebanyak RM1.78 bilion.
“Aliran keluar asing sejak lapan bulan lalu sebanyak RM20.2 bilion telah melepasi paras aliran keluar asing tahunan yang dicatatkan pada 2015 (RM19.7 bilion).
“Tetapi, Malaysia berprestasi paling teruk antara empat pasaran Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand (MIST) ” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com