Paris Baguette labur RM130 juta bina hab pengeluaran makanan halal di Johor | DagangNews Skip to main content

Paris Baguette labur RM130 juta bina hab pengeluaran makanan halal di Johor

Dari kiri: Datuk Mohd Haffiz Ahmad, Lee Ting Han, Datuk Jafni Md Syukor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Hur Jin Soo, Hana Mardhyah Lee, dan Datuk Wira Arham Abdul Rahman merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Paris Baguette Logistics Malaysia Central Kitchen di Tech Park pada Khamis.

ISKANDAR PUTERI 21 Okt - Paris Baguette, rangkaian bakeri global milik SPC Group Korea Selatan, akan melabur sejumlah RM130 juta bagi membangunkan hab pengeluaran makanan halal global pertamanya di sini.

 

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata hab yang akan dikenali sebagai SPC Centre, mampu mengeluarkan sehingga 11 tan doh beku sehari menerusi lima barisan pengeluaran.

 

 

MB

 

 

SPC Centre juga dijangka mewujudkan lebih daripada 100 pekerjaan daripada peringkat  kemudahan pengeluaran sehingga jawatan pengurusan yang memberi banyak manfaat kepada rakyat negeri itu.

 

“Johor mempunyai ekosistem yang tepat untuk menarik pelaburan berkualiti dan saya teruja untuk melihat kejayaan besar dari segi kemajuan agresif serta kestabilan SPC. Saya yakin kejayaan ini akan turut memberi impak dari segi limpahan sosioekonomi yang positif di Johor.

 

“Kerajaan negeri ini akan terus menyalurkan bantuan sewajarnya bagi menyokong pertumbuhan SPC di rantau ini,” katanya pada majlis pecah tanah kemudahan itu di Nusajaya Tech Park di sini pada Khamis, Bernama melaporkan.


 

Dari kiri: Datuk Mohd Haffiz Ahmad, Lee Ting Han, Datuk Jafni Md Syukor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Hur Jin Soo, Hana Mardhyah Lee, dan Datuk Wira Arham Abdul Rahman merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Paris Baguette Logistics Malaysia Central Kitchen di Tech Park pada Khamis.

 


Majlis itu turut dihadiri oleh Presiden SPC Group Hur Jin Soo; CEO Paris Baguette Asia Tenggara Hana Mardhyah Lee; CEO Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Wira Arham Abdul Rahman serta Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor Lee Ting Han; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri Datuk Mohd Haffiz Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Jafni Md Syukor.

 

Sementara itu, ketika mengimbau perjalanan kumpulan itu, Hur berkata SPC Group bermula sebagai sebuah bakeri kecil di Korea Selatan pada 1938.

 

Ini disusuli dengan pembukaan Paris Baguette pada 1988 yang setakat ini mempunyai sebanyak 4,000 premis di serata dunia.

 

Beliau berkata, pembangunan hab halal pertama bagi kumpulan itu akan memperluaskan lagi jangkauan jenama tersebut selain mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran masyarakat Muslim.

 

“Pemilihan SPC Centre di Nusajaya Tech Park, Johor, dibuat secara berhati-hati dan ia merupakan kilang pengeluaran pertama kami di Asia Tenggara yang juga antara rantau yang mencatat pertumbuhan pantas di dunia.

 

“Ini sekali gus dapat mengukuhkan pertumbuhan Paris Baguette selain meningkatkan kedudukan kami di Asia Tenggara,” katanya.

 

Paris Baguette yang terkenal dengan sajian kek serta pastrinya, membuka premis pertama di Korea Selatan dan berkembang ke Amerika Syarikat, China, Vietnam
dan Singapura. - DagangNews.com