Parkson pajak ruang komersial selama 15 tahun di Guiyang, China babit kos RM37 juta | DagangNews Skip to main content

Parkson pajak ruang komersial selama 15 tahun di Guiyang, China babit kos RM37 juta

Parkson menembusi pasaran China pada 1994 dan kira-kira sedekad kemudian membuka premis pertama di Vietnam./Gambar hiasan Parkson
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 2 April - Parkson Holdings Bhd menerusi unitnya yang tersenarai di Hong Kong, Parkson Retail Group Ltd (PRGL) telah menandatangani perjanjian 15 tahun untuk memajak ruang komersial berkeluasan 18,004 meter persegi di bandar Guiyang, China.

 

Ruang itu akan digunakan untuk pusat beli-belah, pejabat, gudang dan projek lain di bawah tanda dagangan "Parkson".

 

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata, perjanjian penyewaan akan dianggap sebagai pemerolehan aset hak guna yang ditempah Parkson pada kira-kira 57.1 juta yuan (RM37.1 juta).

 

Sewa yang perlu dibayar termasuk cukai di bawah perjanjian penyewaan ialah 3.33 juta yuan untuk tahun pertama dan 8 juta yuan setahun dari tahun kedua dan seterusnya, kata Parkson.

 

Parkson juga berkata ruang komersial itu terdiri daripada bangunan lima tingkat, termasuk satu tingkat bawah tanah di Pusat Antarabangsa Longgang yang terletak di 117 Zhonghua Middle Road di bandar Guiyang, wilayah Guizhou, China.

 

Anak syarikat tidak langsung 60% milik PRGL Guizhou Shenqi Parkson Retail Development Co Ltd telah mengendalikan gedung serbaneka Parkson di China di bawah perjanjian penyewaan selama 20 tahun sebelumnya.

 

Parkson berkata, perjanjian penyewaan terbaharu itu akan memberi kesan positif kepada pembangunan masa depannya.

 

“Memandangkan prestasi perniagaan, pertumbuhan bandar Guiyang dan hartanah sekitar serta sinergi operasi kumpulan di wilayah Guizhou, lembaga pengarah percaya bahawa gedung beli-belah sedia ada akan terus memainkan peranan penting dalam menjana hasil yang stabil dan mengekalkan pengiktirafan pasaran kumpulan di China,” tambahnya. - DagangNews.com