Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 Okt. - Parkson Holdings Berhad (Parkson) menerusi anak syarikatnya, Parkson Retail Group Limited (PRGL) telah mewujudkan usaha sama untuk mencari sumber tanah yang sesuai di Bandar Jiaxing di Wilayah Zhejian, China bagi pembangunan dan pembinaan hartanah.
Usaha sama itu menyaksikan perjanjian kerjasama antara anak syarikat tidak langsung PRGL, Shanghai Shengrui Commercial Management Co., Ltd. dan Hongxiang Real Estate Co., Ltd., anak syarikat kepada Hongxiang Holding Group Co., Ltd., berlangsung semalam.
“Memandangkan satu atau lebih nisbah peratusan berhubung pertimbangan di bawah perjanjian itu melebihi 25%, tetapi semua nisbah berkenaan kurang daripada 100%, kewujudan perjanjian itu merupakan transaksi utama PRGL di bawah Bab 14 Peraturan Penyenaraian Sekuriti di Bursa Saham Hong Kong Limited (HKEx).
“Sehubungan itu, persetujuan bertulis dari pemegang saham tertentu yang berminat dengan agregat 1,448,270,000 saham biasa bernilai HK$ 0.02 setiap satu, mewakili kira-kira 54.97% daripada jumlah saham PRGL yang diterbitkan, telah diterima sebagai ganti kepada mesyuarat agung PRGL berdasarkan Peraturan 14.44 Peraturan Penyenaraian,” kata Parkson dalam pengumuman syarikat di Bursa Malaysia hari ini.
Parkson memiliki 54.97% dalam PRGL yang disenaraikan di HKEx.
“Pembentukan usaha sama itu tidak memberi kesan ketara terhadap pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021 dan aset bersih kumpulan berdasarkan penyata kedudukan kewangan syarikat yang diaudit pada 30 Jun 2020,” tambah Parkson. - DagangNews.com