Parkwood kembali catat keuntungan sebanyak RM3 juta bagi suku keempat 2022 | DagangNews Skip to main content

Parkwood kembali catat keuntungan sebanyak RM3 juta bagi suku keempat 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Feb - Parkwood Holding Berhad kembali mencatatkan keuntungan sebanyak RM3.48 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22) selepas mencatatkan kerugian RM1.29 juta bagi suku sama pada tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia memberitahu, keuntungan mereka dipacu oleh pengiktirafan hasil yang lebih tinggi daripada aktiviti pembangunan hartanahnya.

 

Katanya, peningkatan pendapatan lain dan perbelanjaan am dan pentadbiran yang lebih rendah dalam tempoh tersebut telah meningkatkan lagi keuntungan.

 

Bagi suku berkenaan, kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM4.88 juta dengan RM4.33 juta adalah hasil daripada segmen pembangunan hartanah dan RM550,000 daripada segmen pegangan pelaburan.

 

Jumlah itu mewakili peningkatan sebanyak RM1.65 juta berbanding hasil sebanyak RM3.23 juta pada suku tahun sebelumnya.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), kumpulan itu mencatatkan keuntungan sebanyak RM2.34 juta berbanding kerugian pada tahun sebelumnya sebanyak RM4.31 juta.

 

Bagi tahun kewangan semasa dalam tinjauan, pendapatan lain kumpulan terdiri daripada keuntungan nilai wajar ke atas hartanah pelaburan, pendapatan faedah daripada penempatan dana dengan bank berlesen, pendapatan sewa daripada pajakan hartanah dan yuran pengurusan pembangunan.

 

"Prospek jangka pendek bagi pasaran hartanah kekal mencabar berpunca daripada tekanan pasaran global dan domestik seperti tekanan inflasi yang meningkat dan kenaikan mendadak harga komoditi.

 

"Walaupun menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang, kumpulan akan berusaha untuk terus berhati-hati dalam langkah penjimatan tunainya selain memberi tumpuan kepada penjanaan sewa di bawah segmen pelaburan hartanah serta mempercepatkan penjualan unit Utamara Boutique Residence," katanya. - DagangNews.com