Pasaran buruh negara pada tahap stabil | DagangNews Skip to main content

Pasaran buruh negara pada tahap stabil

Pasaran buruh

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Pasaran buruh negara berada dalam keadaan stabil dengan sedikit pemulihan susulan bilangan pengangguran yang direkodkan pada Ogos 2020 adalah seramai 741,400 orang berbanding 745,100 orang pada Julai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kadar pengangguran kekal pada 4.7% berikutan pengurangan marginal bilangan penganggur.

"Trend pemulihan yang dicatatkan adalah untuk bulan ketiga berturut-turut selepas merekodkan kadar tertinggi 5.3% pada Mei dan 4.9% pada Jun 2020.

"Kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 30 tahun pula mencatatkan penurunan yang memberangsangkan apabila buat pertama kalinya turun di bawah paras 9% sejak April 2020 iaitu pada 8.9% (502,300 orang). 

 

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed 

 

"Kadar pengangguran belia melepasi paras 9% dari April sehingga Julai tahun ini (Julai 2020: 544,500 orang)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Trend pemulihan yang dicatatkan pada bulan Ogos disokong oleh pelbagai faktor seperti;

  • Pembukaan semula sektor ekonomi bermula 10 Jun lalu selaras dengan fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)
  • Pembukaan semula sektor pendidikan secara berperingkat
  • Kebenaran merentas negeri yang menyaksikan aktiviti pelancongan domestik yang lebih rancak
  • Kesan positif daripada pelbagai inisiatif Kerajaan seperti pakej ransangan PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan dan Pelan Pemulihan Jangka Pendek (PENJANA) khususnya melalui pelbagai program yang secara langsung memberi penekanan kepada pemulihan pasaran buruh iaitu Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan (PENJANAKerjaya), Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran untuk belia dan penganggur (Upskilling and reskilling), Tenaga Kerja Dalam Talian Global (GLOW) dan Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA.

 


Tambah beliau, statistik penduduk bekerja pada Ogos 2020 juga mencatatkan peningkatan sebanyak 0.5% kepada 15.15 juta orang.

Jumlah tersebut menjadikan nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan pekerjaan turut meningkat 0.3 mata % daripada bulan sebelumnya kepada 65.2% (Julai 2020: 64.9%).

Dalam pada itu, beliau turut mengakui bahawa bilangan penganggur kini masih tinggi berbanding dengan purata seramai 494,000 orang bagi tempoh 2016 hingga 2019.

Tambahan lagi, keadaan semasa yang memperlihatkan trend peningkatan kes-kes baru COVID-19 berkemungkinan memberi cabaran untuk tenaga buruh memasuki pasaran pekerjaan.

Mengulas berkaitan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan di Sabah, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, beliau memberitahu, pihaknya sedar perkara tersebut menimbulkan keresahan khususnya kepada ekonomi dan mata pencarian rakyat.

"Ingin saya tekankan sekali lagi bahawa keperluan untuk melindungi nyawa dan kehidupan rakyat adalah sama penting dan harus ditekankan secara seimbang. 

"Atas sebab itulah, PKPB yang dilaksanakan membenarkan sektor ekonomi, industri dan perniagaan untuk beroperasi seperti biasa.

"Kerajaan akan terus fokus kepada usaha-usaha memantapkan kedudukan ekonomi Negara terutamanya dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan peluang kepada perniagaan untuk semua, tanpa sekali-kali mengenepikan aspek kesihatan dan keselamatan rakyat," tambah beliau lagi. - DagangNews.com