Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 26 Mac - Pasaran ekuiti Malaysia, FBM KLCI menunjukkan prestasi kemajuan paling perlahan dan ketinggalan berbanding pasaran-pasaran saham di negara lain.
Berdasarkan pemerhatian MIDF Research, FBM KLCI menyaksikan penurunan -1.52% sejak awal tahun sehingga 24 Mac 2021.
MIDF percaya prestasi lemah ini disebabkan oleh pengambilan untung dalam sektor sarung tangan memandangkan para pelabur beralih ke saham-saham yang dijangka pulih dan harga yang rendah.
“Kami mendapati bahawa FBM 70 dan Indeks Permodalan Kecil FBM masing-masing meningkat sebanyak +2.01% dan +7.46%, setakat ini, pada sepanjang tahun 2021 (YTD).
“Dalam masa sama, kami melihat larangan penjualan pendek terhad yang ditarik semula boleh menyebabkan penurunan harga saham di sektor sarung tangan.
“Ini juga berkemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan darurat menyebabkan sentimen beralih kepada kebimbangan terhadap FBM KLCI,” jelas MIDF dalam laporannya hari ini.
Namun, menurut MIDF, pasaran ekuiti setakat ini menyaksikan penjualan bersih asing semakin berkurangan di mana setakat 19 Mac 2021, mereka beralih kepada pembeli bersih bagi bulan ini.
“Walaupun kita melihat penjualan bersih oleh pelabur asing sebelum ini, namun mereka kekal di kedudukan pembelian bersih bagi bulan ini, setakat 24 Mac 2021, bernilai RM188.2 juta,” tambah MIDF.
Setakat 22 Mac 2021, pasaran saham Malaysia menyaksikan aliran keluar bernilai RM1.01 bilion.
MIDF mengekalkan unjuran KLCI pada kadar 1,700 mata menjelang hujung tahun ini berdasarkan beberapa senario asas.
Ini termasuk jangkaan pandemik COVID-19 yang akan berakhir, mengurangkan risiko makro dan membawa prospek perolehan yang lebih cerah pada masa akan datang, tetapi, ia juga boleh menyebabkan penurunan harga kewangan seterusnya memberi tekanan ke bawah terhadap penilaian.
Sementara itu, bagi pasaran kewangan, MIDF mendapati ketidaktentuan sekali lagi terus meningkat yang dicetuskan oleh pasaran bon di Amerika Syarikat (AS).
Situasi kadar hasil bon yang melonjak tinggi pada penghujung Februari 2021 ‘menakutkan’ pelabur di mana mereka seterusnya berpusu-pusu menjual aset berisiko terutamanya ekuiti.
“Lonjakan dalam kadar hasil bon disebabkan oleh jangkaan inflasi yang lebih tinggi. Kebimbangan terhadap inflasi menyebabkan para pelabur membuat spekulasi bahawa Rizab Persekutuan AS mungkin mengubah dasar dengan lebih cepat daripada jangkaan, menerusi pengurangan pembelian bon atau meningkatkan kadar faedah kepada paras tertentu.
“Ini mungkin dapat berubah menjadi lebih meruncing, kali terakhir dilihat pada tahun 2013. Sementara itu, Turki juga menyaksikan penjualan dalam pasaran kewangannya susulan terdapat konflik terhadap keputusan dasar, apabila Presidennya, Tayyip Erdogan memecat gabenor bank pusat di negara itu.
“Salah satu tema utama kepada situasi itu adalah untuk memerhati rapat tindakan oleh Rizab Persekutuan AS. Pasaran bon AS dilihat memberi petunjuk kepada tindak balas pihak berkuasa kewangan yang akan menyebabkan ketidaktentuan meningkat,” tambah MIDF.
Oleh itu, MIDF percaya tekanan itu merupakan sebuah peluang untuk para pelabur membeli. - DagangNews.com