KUALA LUMPUR 23 Jan - Pasaran hartanah Malaysia tahun ini dijangka stabil walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi dengan beberapa kawasan berada pada kedudukan terbaik untuk pertumbuhan yang lebih baik.
Pengurus negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, terdapat juga kemungkinan besar peralihan sementara minat pembeli terhadap pasaran sewa memandangkan ramai masih tidak mampu untuk memiliki rumah.
"Peluang tetap wujud untuk pemilik dan penjual rumah di kawasan tumpuan dan kawasan yang berpotensi untuk dirangsang sambutannya.
"Keadaan itu ditambah dengan penurunan kadar inflasi dan inisiatif kerajaan yang disasarkan untuk membantu pembeli rumah selain menawarkan pasaran yang lebih seimbang.
"Walaupun pasaran dilihat kekal mencabar, kami tetap optimis namun kekal berhati-hati terhadap prospek hartanah," katanya dalam Laporan Tinjauan Pasaran Hartanah PropertyGuru Malaysia 2024, hari ini.
Di sebalik ketidaktentuan ekonomi secara umum, terdapat beberapa kawasan yang mempamerkan daya tahan didorong pembangunan infrastruktur baharu seperti di Johor dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan Rangkaian Transit Pantas Singapura-Johor Bahru yang akan menyaksikan peningkatan permintaan terhadap hartanah.
Keadaan itu juga menyumbang kepada kenaikan harga hartanah di selatan tanah air dengan median harga permintaan untuk rumah di Johor meningkat sebanyak 9.7% pada suku keempat 2023.
Johor juga terus menerima permintaan hartanah asing terbesar dalam Malaysia. Tiga lokasi kediaman pilihan utama pembeli asing ialah Iskandar Puteri, Puteri Harbour dan Senibong.
Memandang ke hadapan, beliau berkata, PropertyGuru menjangkakan beberapa trend akan memberi kesan kepada sektor hartanah Malaysia pada tahun ini termasuk kemampanan dan keterangkuman dalam pasaran hartanah tempatan.
"Pemaju hartanah harus memberi pertimbangan kepada gaya hidup dan minat pengguna apabila merancang projek perumahan, kerana harga hartanah yang lebih tinggi akan menyebabkan pencari rumah mempunyai lebih banyak pertimbangan untuk rumah pertama mereka," katanya.
Beliau juga berkata, keadaan hartanah tidak terjual dijangka terus bertambah baik tahun ini.
Katanya, pada tahun lalu, kerajaan komited menangani isu hartanah tidak terjual yang berlarutan, menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengenal pasti dan menyiasat projek perumahan yang sakit dan terbengkalai.
Kataya lagi, inisiatif kerajaan yang disasarkan, termasuk Skim Kredit Perumahan di mana peruntukan dinaikkan kepada RM10 bilion di bawah Belanjawan 2024, boleh membantu mengurangkan kos pemilikan rumah untuk pembeli rumah. - DagangNews.com