KUALA LUMPUR 5 April - Pasaran tempatan ditutup rendah petang ini tetapi hampir tidak berubah, dan kurang daya pemangkin.
Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.11 mata atau 0.07% kepada 1,584.24 mata dengan jumlah dagangan sebanyak 7.84 bilion bernilai RM2.8 bilion.
Keseluruhan pasaran juga hampir seimbang dengan kaunter untung mengatasi rugi pada 542 berbanding 532 manakala 419 kaunter tidak berubah.
Menurut Reuters, pasaran saham dan mata wang Asia kebanyakannya diniagakan rendah pada Isnin dengan dagangan yang semakin lemah.
Ini memandangkan data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang kukuh meningkatkan kebimbangan sama ada Rizab Persekutuan AS akan meningkatkan kadar faedah dengan lebih cepat atau tidak.
Beberapa pasaran serantau China dan Hong Kong pula ditutup hari ini.
Prospek terhadap guna tenaga penuh ini meningkatkan persoalan sejauh mana Rizab Persekutuan AS akan mengekalkan pendiriannya untuk faedah rendah sehingga 2023.
Secara dasarnya, pasaran sudah mengambil kira kenaikan ini menjelang akhir tahun depan. Sebarang kenaikan kadar faedah ini akan mengecilkan jurang perbezaaan bagi hasil perbendaharaan Asia dan juga AS.
Dalam pada itu, harga minyak jatuh sekitar AS$64 setong apabila OPEC+ meningkatkan bekalan dan pengeluaran Iran yang tinggi mengatasi tanda-tanda pemulihan ekonomi yang kukuh di AS dan harapan terhadap pemulihan permintaan.
OPEC+ yang terdiri daripada Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya pada Khamis bersetuju untuk meningkatkan pengeluaran mulai Mei hingga Julai. Malah, Iran juga mengambil langkah yang serupa.
Harga minyak Brent bagi Jun jatuh 96 sen kepada AS$63 setong manakala West Texas Intermediate (WTI) bagi Mei jatuh 62 sen kepada AS$60.83 setong.
Bagi pasaran kewangan, petang ini ringgit ditutup pada RM4.1390/1420 berbanding dolar AS, hanya meningkat sedikit daripada penutupan Jumaat pada RM4.1380/1420. - DagangNews.com