Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Nov. - Pasaran tempatan petang ini ditutup lebih tinggi, melonjak 20.70 mata kepada 1,590.78 mata.
Ini berikutan meningkatnya harapan terhadap vaksin COVID-19 bagi mencegah wabak itu walaupun wujud pertimbangan mengenai sejauh mana kesediaan vaksin tersebut.
Petang ini, indeks FBM KLCI bergerak dalam jajaran 1,558.71 hingga 1,592.28 mata dengan 16.56 bilion saham diniagakan bernilai RM5.88 bilion.
Ia menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi pada 779 berbanding 466 manakala 388 kaunter tidak berubah.
Pagi tadi, indeks itu dibuka 4.09 mata lebih rendah pada 1,565.99 mata berbanding penutupan petang semalam, 1,570.08.
Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup rendah pada RM4.1330/1380 berbanding dolar AS, lebih rendah berbanding penutupan semalam, RM4.1280/1330.
Menurut Reuters, pasaran saham Asia pada Khamis melonjak tinggi dalam tempoh lebih 2 tahun didorong oleh usaha rangsangan global dan harapan terhadap vaksin COVID-19 yang berterusan meskipun beberapa penganalisis memberi amaran mengenai risiko pembetulan yang lebih rendah.
Ketua Pegawai Pelaburan Serantau UBS Securities, Daiju Aoki berkata, pasaran masih menunggu perkembangan terhadap virus tersebut dan ini akan menyukarkan pelabur dana lindung nilai.
Sebelum ini dilaporkan peningkatan pasaran saham Asia berlaku selepas saham AS menunjukkan prestasi bercampur-campur apabila pelabur mengalih pembelian kepada saham-saham teknologi berbanding sektor yang sensitif kepada ekonomi.
Keadaan ini disebabkan pelabur masih membuat pertimbangan terhadap vaksin COVID-19 dan tempoh pemulihan ekonomi.
Bagaimanapun, petang ini, kebanyakan pasaran mata wang Asia dan ekonomi baharu muncul kembali dalam dagangan berhati-hati selepas melonjak ekoran percubaan vaksin COVID-19.
Sementara itu, HLIB Research berkata, prospek ringgit adalah neutral di sebalik kenaikan semalaman dolar AS tetapi pasaran dijangka kembali stabil menjelang pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga oleh Bank Negara Malaysia, esok.
Firma penyelidikan itu menjangkakan KDNK akan menyusut 3% berbanding tempoh sama tahun lalu memandangkan kebanyakan sektor masih belum pulih.
"Berbanding sektor pertanian dan pembuatan, sektor-sektor ekonomi lain dijangka mencatat penguncupan lebih kecil," katanya. - DagangNews.com