Pasaran rokok seludup di Malaysia kekal pada paras tinggi 55.3% - kajian CMTM | DagangNews Skip to main content

Pasaran rokok seludup di Malaysia kekal pada paras tinggi 55.3% - kajian CMTM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Pasaran rokok seludup di Malaysia kekal di paras tinggi iaitu 55.3%, sedikit rendah sebanyak 1.3 mata peratus daripada 56.6% pada 2022, menurut Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (CMTM).

 

Menerusi Kajian Rokok Seludup (ICS) di Malaysia yang diterbitkan pada Mei 2023 itu, CMTM gembira dengan penurunan tersebut dan percaya bahawa langkah anti-rokok seludup yang diperkenalkan termasuk kawalan ketat ke atas pemindahan produk tembakau dan peningkatan usaha penguatkuasaan terhadap rokok seludup membuahkan hasil positif. 

 

Di Kelantan, kejadian penyeludupan menurun ke paras 50.2% berbanding 70.6% pada 2020 berikutan tindakan penguatkuasaan yang lebih tinggi di negeri itu. Adalah penting bahawa inisiatif ini mesti diteruskan dan dikekalkan.

 

Bagaimanapun katanya, pada paras 55.3%, prevalens rokok seludup masih dianggap sangat tinggi mengikut piawaian antarabangsa. 

 

"Malaysia masih antara pasaran rokok seludup tertinggi di dunia kerana pengguna terdorong ke arah rokok seludup yang dijual murah antara RM4 hingga RM8 sekotak, berbanding kategori rokok sah yang paling rendah dijual pada harga RM12 disebabkan kos cukai hampir RM9 sekotak. 

 

"Ini menyebabkan kerajaan kehilangan kira-kira RM5 bilion setiap tahun daripada segi cukai tidak dikutip. 

 

"CMTM menggesa kerajaan untuk terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap penyeludupan pantai yang berleluasa khususnya di wilayah pantai timur Semenanjung Malaysia memandangkan sindiket jenayah kini mengambil kesempatan ke atas sempadan yang luas untuk menyeludup produk mereka secara haram ke negara ini," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

 

cmtm

 

 

CMTM berkata, laporan ICS 2023 Mei juga menunjukkan peningkatan ketara kewujudan kotak rokok dengan setem cukai palsu dalam pasaran. 

 

Katanya berdasarkan kajian, insiden kotak rokok dengan setem cukai palsu meningkat kepada 8.5% daripada 4.9% pada 2018. 

 

"Pada masa ini terdapat lebih daripada 20 jenama pek rokok dengan setem cukai palsu di Malaysia dan ia dijangka meningkat jika isu tersebut dibiarkan tanpa ditangani sewajarnya. 

 

"Adalah penting bagi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk mengambil tindakan segera terhadap 'penyangak' import yang terlibat dalam produk setem cukai palsu," katanya.

 

CMTM juga amat mengalu-alukan program ganjaran 10% yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan I dan percaya program ini tepat pada masanya dan menggalakkan lagi perkongsian risikan, serta membawa kepada tindakan penguatkuasaan yang memberi kesan. 

 

Malah, CMTM menyarankan agar program ini tidak terhad kepada JKDM sahaja kerana ia adalah sama penting untuk memasukkan agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Kementerian Kesihatan dan lain-lain dalam program tersebut.

 

Memandangkan kejadian rokok seludup yang tinggi pada masa ini di Malaysia, CMTM mengesyorkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang kini ditugaskan untuk mengkaji semula Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 yang merangkumi cadangan dasar Penamat Generasi Rokok (GEG), melaksanakan penilaian yang komprehensif dan perundingan untuk rang undang-undang. 

 

"Ini adalah untuk memastikan dasar dibuat berdasarkan bukti berasaskan sains yang kukuh, menghalang sebarang kemungkinan penyeludup mengaut keuntungan di negara ini dan merencatkan langkah-langkah positif yang dilaksanakan itu," katanya. - DagangNews.com