Pasaran saham dibuka ‘sendu’ | DagangNews Skip to main content

Pasaran saham dibuka ‘sendu’

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Mac - Pasaran ekuiti Malaysia dibuka tinggi sedikit, namun menyusut semula setelah 25 minit didagangkan. 

 

Ketika dibuka pada 9 pagi, indeks penanda aras di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok 0.05 mata daripada paras yang ditutup semalam, 1,616.73 kepada 1,616.78. 

 

Bagaimanapun, setakat 9.25 pagi, indeks itu merosot kepada 1,610.43, menjadikan mata penurunan keseluruhan sehingga 6.30 mata atau 0.39%. 

 

Antara saham yang merosot termasuk Dataprep Holdings Berhad, Panasonic Manufacturing Malaysia Berhad, Annum Berhad, Genting Berhad, British American Tobacco (Malaysia) Berhad, Seni Jaya Corporation Berhad, Ta Ann Holdings Berhad, Kobay Technology Berhad, Ann Joo Resources Berhad dan Petronas Chemicals Group Berhad.

 

Rakuten Trade Research percaya FBM KLCI akan mengukuh hari ini ekoran penutupan yang lemah semalam. 

 

"Oleh itu, kami menjangkakan indeks itu akan meningkat lebih tinggi dan menguji paras 1,620 hari ini. 

 

“Bagaimanapun, kami perhatikan pasaran kekal lemah ekoran kurangnya pemangkin pembelian dan tiada aliran masuk signifikan daripada dana asing, justeru, kami terus menggalakkan pelabur untuk mengekalkan pembelian saham lemah. 

 

“Sementara itu, kami juga memerhati rapat hubungan antara China dan Amerika Syarikat (AS),” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya. 

 

Di peringkat global, Rakuten Trade berkata, Wall Street melonjak semula apabila pelabur ‘berkumpul’ sebagai pembeli ketika kadar hasil perbendaharaan 10 tahun AS menyusut.

 

“Dengan kadar hasil 10 tahun itu merosot di bawah 1.7%, Dow Jones Industrial Average menokok 103 mata, sementara Nasdaq melompat lebih daripada 1.2%. 

 

“Memandangkan ketidaktentuan pasaran kian meningkat, kami menjangkakan pasaran serantau bakal menyaksikan prestasi mendatar hari ini,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com