Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Dis. - Pasaran saham tempatan terus melonjak melepasi paras tertinggi sejak 18 bulan lalu.
Setakat 9.02 pagi, KLCI mencecah 1,649.84 menokok 3.31 mata atau 0.20% daripada paras yang ditutup semalam, 1,646.53.
Semalam, lonjakan pasaran di Bursa Malaysia didorong oleh saham-saham perbankan yang meningkat.
Bagaimanapun, dari segi keseluruhan, pasaran saham kekal negatif kerana terdapat banyak stok yang merudum.
Rakuten Trade Research menjangkakan KLCI bakal menyaksikan dagangan dalam julat terhad (consolidation) dan saham-saham berkaitan teknologi akan mengikuti kelemahan Nasdaq.
“Namun, kami melihat ada peluang dagangan memandangkan pelabur terus beralih ke sektor pemulihan COVID-19 (rotational sectors play) dan mengambil keuntungan daripada saham melonjak ke saham yang merosot,” kata Rakuten Trade.
Dalam pada itu, pasaran saham di Amerika Syarikat (AS) lebih rendah berikutan berita rancangan rangsangan tergendala.
Saham-saham teknologi pula mendahului kemerosotan pasaran selepas mencanak tinggi.
Pasaran serantau pula bakal menyaksikan kelemahan dagangan didorong pasaran AS dengan niaga hadapan AS pula mendatar. - DagangNews.com