Pasaran saham menjunam, ringgit ditutup rendah | DagangNews Skip to main content

Pasaran saham menjunam, ringgit ditutup rendah

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Pasaran tempatan yang ditutup petang ini menjunam lebih 2% setelah melepasi paras 1,600 mata pada Khamis minggu lepas. 

 

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) itu jatuh 2.79% atau 44.88 mata kepada 1,562.71 mata setelah memulakan dagangan tinggi pagi tadi pada 1,607.89 mata berbanding 1,607.59 mata ketika ditutup Jumaat.

 

Ia menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi pada 688 berbanding 563 manakala 444 kaunter tidak berubah. 

 

Bursa tempatan yang bergerak pada jajaran 1,562.71 hingga 1,614.77 mata melibatkan 9.02 bilion saham diniagakan bernilai RM7.71 bilion. 

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup pada RM4.0730/0770 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih rendah daripada penutupan Jumaat, 4.0670/0710. 

 

Menurut Bloomberg, pasaran saham di Asia berubah daripada untung kepada rugi sejajar dengan niaga hadapan ekuiti di AS dan Eropah memandangkan para pelabur masih memantau perkembangan vaksin COVID-19 pada hari terakhir bulan yang merekodkan ekuiti global. 

 

Dalam masa sama, harga minyak juga merosot. 

 

Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Adam Mohamed Rahim berkata, dalam kalangan komponen FBM KLCI, kaunter perbankan seperti Public Bank mendominasi kaunter rugi dengan penurunan 6.45% di tengah-tengah aktiviti pengambilan untung. 

 

"Kami berpendapat aktiviti pengambilan untung mungkin telah berlaku setelah beberapa saham perbankan mencapai paras tertinggi pada minggu lalu ketika Belanjawan 2021 diluluskan pada tahap dasar," katanya kepada DagangNews.com. 

 

Sehubungan itu, katanya, adalah tidak menghairankan apabila Bursa Malaysia Financial Services Index menyaksikan penurunan terbesar sebanyak 3.22%. 

 

"Sementara itu, Top Glove mengetuai kaunter untung dengan kenaikan 1.86% di sebalik kenaikan jumlah kes COVID-19  di seluruh dunia terutama di Indonesia," katanya.

 

Sebanyak 105 undian yang menyokong Belanjawan 2021 di peringkat Jabatan Perdana Menteri manakala, 95 menentangnya dan difahamkan seramai 22 Ahli Parlimen yang tidak menyokong. 

 

Ini bermaksud Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri selepas dibuat undian belah bahagi. - DagangNews.com