Pasaran 'suram' menjelang musim perayaan Krismas | DagangNews Skip to main content

Pasaran 'suram' menjelang musim perayaan Krismas

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 18 Dis. - Malaysia mendahului pasaran saham Asia yang diniagakan rendah petang ini dan mencatat kerugian mingguan pertama dalam tempoh 7 minggu, lapor Reuters

 

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 21.86 mata kepada 1,652.49 mata ketika ditutup petang ini ekoran pengambilan keuntungan menjelang musim perayaan Krismas. 

 

Ia menyaksikan indeks bergerak dalam jajaran antara 1,644.80 hingga 1,678.11 mata sebelum mengakhiri dagangan dengan menyusut 1.31%.

 

 

Jumlah dagangan sebanyak 8.02 bilion bernilai RM4.37 bilion, lebih rendah berbanding semalam dengan dagangan 9.2 bilion bernilai RM4.32 bilion. 

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, pasaran agak 'huru-hara' hari ini sehingga ditutup rendah apabila pelabur mula menjual untuk meraih keuntungan menjelang hujung tahun dan musim perayaan. 

 

Malah, katanya, ada juga pelabur yang berpendapat tahap semasa FBM KLCI sudah mencapai tempoh sesuai untuk pengambilan untung. 

 

Dalam komposisi 30 FBM KLCI, antara kaunter yang mengheret turun indeks ialah saham perbankan seperti Public Bank dan Maybank, susut lebih 2%. 

 

"Kaunter perladangan seperti Kuala Lumpur Kepong juga jatuh 2.9% dalam dagangan hari ini. 

 

"Selain itu, indeks kewangan mencatat kerugian terbesar dalam kalangan kaunter-kaunter lain dengan penyusutan 1.9%," katanya kepada DagangNews.com. 

 

Beliau berkata, aktiviti dagangan pada minggu hadapan mungkin menarik nafas seketika terutama sebelum cuti umum Krismas pada Jumaat. 

 

Pada masa sama, data inflasi Malaysia bagi November akan dikeluarkan pada Rabu. 

 

"Dengan dagangan dijangka suram minggu hadapan, bursa tempatan kemungkinan akan berlegar sekitar 1,640 hingga 1,660 mata," katanya.  

 

Mengiringi pasaran saham yang kurang menyerlah hari ini, mata wang Asia juga diniagakan lemah dalam dagangan tengah hari selepas dolar AS menjunam ke paras terendah 2 tahun setengah minggu ini. 

 

Menurut Reuters, mata wang rantau ini, peso, ringgit, rupee dan rupiah diniagakan tidak berubah dan rendah. 

 

Petang ini, ringgit ditutup pada RM4.0320/0370 berbanding dolar AS, tidak berubah daripada penutupan semalam. 

 

Aliran masuk bon dan ekuiti dalam pasaran Asia telah menyebabkan perubahan dalam pasaran kewangan, mendorong beberapa bank pusat ekonomi Asia yang bergantung kepada eksport untuk campur tangan dalam pasaran atau mengambil beberapa langkah  untuk mengekang pengukuhan berlebihan. - DagangNews.com