Pasaran tempatan 'terkawal', tidak seteruk PKP 1.0 - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Pasaran tempatan 'terkawal', tidak seteruk PKP 1.0 - Penganalisis

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 31 Mei - Dengan menganggap pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh kali ini bukan sesuatu yang mengejutkan berdasarkan kepada situasi semasa pandemik COVID-19, ini menjadikan pasaran tempatan dilihat 'lebih terkawal'. 

 

Menurut CGS-CIMB, impak kepada pasaran dijangka hampir tidak berubah berbanding ketika PKP 1.0 apabila indeks utama FBM KLCI menjunam hingga 5% pada 16 Mac 2020, apabila kerajaan mengumumkan langkah berkenaan. 

 

Ini kerana katanya, PKP 4.0 dilaksanakan ekoran desakan beberapa pihak dan juga peningkatan ketara jangkitan baharu hampir setiap hari. 

 

"Tetapi, keputusan ini meningkatkan risiko kepada hasil korporat bagi sektor terjejas dan sejauh mana kesan buruknya pula bergantung kepada berapa lama PKP ini akan berkuatkuasa," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pagi ini, KLCI susut 23.64 mata atau 1.48% kepada 1,570.8 mata berbanding penutupan pada Jumaat, 1,594.44 mata. 

 

Dalam masa sama, ringgit juga lemah dibuka pada RM4.1420/1500 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih rendah daripada penutupan Jumaat, RM4.1320/1350.

 

CGS-CIMB bagaimanapun mengekalkan unjuran akhir tahun KLCI pada 1,699 mata. 

 

Jelasnya, pelancaran vaksin yang akan terus dipertingkatkan pada separuh kedua tahun ini dan juga faktor lain terutama jualan eksport yang kukuh, kecairan pasaran dan kadar faedah rendah akan terus menyokong sentimen pasaran.

 

"Bagaimanapun, laporan mengenai PKP penuh ini dalam tempoh terdekat akan menjejaskan kaunter berkaitan sektor seperti perbankan, automotif, hartanah, peruncitan, pembinaan, REIT dan berkaitan pelancongan dengan mengambil kira kebimbangan terhadap risiko pendapatan. 

 

"Ini akan mendorong pelabur beralih kepada saham yang kurang terjejas dengan PKP seperti utiliti, telekomunikasi, pengeluar sarung tangan getah dan perladangan hinggalah kes COVID-19 semakin berkurangan dan kadar vaksinasi meningkat," katanya. 

 

Sementara itu, MIDF Research menyifatkan kejutan kepada pasaran tidak boleh dielakkan memandangkan kerajaan telah menyatakan sebelum ini tidak akan melaksanakan PKP penuh di seluruh negara. 

 

"Oleh itu, kami menjangkakan sebarang reaksi buruk kepada pasaran ekoran PKP 4.0 kali ini, harus dilihat sebagai peluang membeli kepada pelabur," katanya. 

 

Firma itu menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 6.2% kepada 4.6% dengan mengambil kira impak daripada PKP 4.0.

 

Dari segi pendapatan korporat, MIDF Research berkata, ia akan dirasai pada suku kedua dan ketiga tahun ini, justeru, unjuran pertumbuhan bagi suku terakhir kekal tidak berubah pada 3.1% tahun ke tahun. 

 

"Kami bagaimanapun, mengekalkan unjuran akhir tahun KLCI pada 1,700 mata berdasarkan kepada trajektori pertumbuhan pendapatan yang akan pulih pada suku terakhir 2021," katanya. 

 

Kenanga Research pula berpendapat, langkah sekatan kali ini dilihat hanya sementara dengan kesan yang terhad bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dan memulihkan kembali pengurusan pandemik. 

 

"Dengan beberapa tambahan langkah pencegahan dan perkembangan vaksin, terdapat peluang cerah kadar jangkitan yang membimbangkan ketika ini dapat dikawal. 

 

"Ini akan menyaksikan PKP ini akan dilonggarkan menjelangnya separuh kedua 2021," jelasnya. 

 

Firma itu bagaimanapun, kekal optimis dengan separuh kedua 2021 dan mengekalkan unjuran KLCI akhir tahun pada 1,710 mata. - DagangNews.com