Pasaran : Tiada lagi sentimen PKP, darurat | DagangNews Skip to main content

Pasaran : Tiada lagi sentimen PKP, darurat

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Bursa tempatan mengakhiri dagangan hari ini dengan lebih tinggi selepas berdepan situasi panik susulan pengumuman perintah kawalan pergerakan (PKP) dan kemudiannya, pengisytiharan darurat. 

 

Indeks utama FBM KLCI menyaksikan lonjakan 1.53% atau 24.65 mata untuk ditutup kepada 1,636.69 mata mengatasi kerugian dalam dua sesi sebelum ini. 

 

Keseluruhan pasaran juga positif dengan kaunter untung mengatasi rugi pada 950 berbanding 348 manakala 308 kaunter tidak berubah dengan 7.12 bilion saham diniagakan bernilai RM5.11 bilion. 

 

Keyakinan pelabur meningkat kembali dalam pasaran tempatan setelah kerajaan memberi jaminan operasi perniagaan masih dibuka di sebalik perintah darurat yang berkuatkuasa sehingga 1 Ogos 2021. 

 

Malah, para penganalisis juga berpendapat, selain dapat mengekang lonjakan wabak COVID-19, ia juga mampu meredakan suhu politik negara setelah sekian lama bergelut untuk mengekalkan kuasa. 

 

UOB Global and Market Research dalam nota kajian menjangkakan kesan PKP 2.0 tidak seteruk ketika fasa pertama yang dilaksanakan Mac lalu. 

 

"Kami melihat, langkah-langkah yang diambil kali ini kurang menjejaskan perniagaan dan juga isi rumah," katanya. 

 

Bagaimanapun, CGS-CIMB melihat, walaupun unjuran FBM KLCI pada akhir tahun kekal sekitar 1,759 mata tetapi pasaran akan terus tidak menentu disebabkan risiko politik dan kebimbangan terhadap hasil. 

 

"Tindakan ini (darurat) mendapat kritikan ahli politik pembangkang yang menyalahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin kerana gagal menangani wabak ini apabila ia semakin melonjak. Dalam masa sama, kerajaan didakwa menggunakan alasan ini (pandemik) untuk kekal berkuasa," katanya. 

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, pengisytiharan darurat akan memberi impak negatif kepada sentimen pasaran kewangan dalam masa terdekat yang mungkin akan berlaku jualan tergesa-gesa. 

 

"Berdasarkan ucapan Muhyiddin semalam, indeks FBM KLCI telah mengatasi kerugian semalam, yang mana ini menunjukkan bahawa pelabur sudah dapat diyakinkan dan mengenalpasti konteks darurat yang diisytiharkan. 

 

"Memandangkan perintah darurat tidak akan menganggu aktiviti perniagaan dan ekonomi, kami percaya sebarang penjualan ekuiti juga akan mewujudkan peluang pembelian," katanya. 

 

Pasaran kewangan petang ini menyaksikan ringgit mengukuh ditutup lebih tinggi pada RM4.0430/0470 berbanding dolar AS. 

 

Semalam mata wang itu ditutup pada RM4.0550/0600 apabila pelabur masih tidak pasti berhubung pelaksanaan semula PKP dan perintah darurat. 

 

Pengukuhan ringgit memberi keyakinan kepada penganalisis untuk melihat mata wang itu mampu berlegar sekitar RM3.96 berbanding dolar AS menjelang hujung tahun ini, seperti diunjur bank pelaburan HSBC. 

 

Setakat ini, ringgit lebih kukuh berbanding RM4.062 setahun lalu dan meningkat daripada paras rendah tahun lalu, RM4.4126 berbanding dolar AS. - DagangNews.com