PATAMI Samchem turun 5% kepada RM18.21 juta bagi 2QFY22 | DagangNews Skip to main content

PATAMI Samchem turun 5% kepada RM18.21 juta bagi 2QFY22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Julai - Pengedar bahan kimia dan pelincir bersepadu, Samchem Holdings Berhad mencatatkan penurunan 5% keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) kepada RM18.21 juta pada 2QFY22 berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, penurunan itu disebabkan oleh margin yang lebih kecil yang timbul daripada persekitaran yang mencabar pada suku tersebut.

 

Kumpulan itu bagaimanapun, merekodkan hasil sebanyak RM366.67 juta berbanding RM371.56 juta pada tahun lalu dan penurunan itu disebabkan oleh penurunan jumlah jualan.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ng Thin Poh berkata,  pihaknya berjaya merekodkan keputusan yang memuaskan bagi 2QFY22 walaupun beroperasi dalam keadaan makro yang tidak menentu dan tidak menggalakkan, kadar logistik yang meningkat secara berterusan dan kos input yang lebih tinggi.

 

Katanya, pasukannya memberi respon yang baik bagi memastikan pelanggan menerima layanan yang baik selain terus memberi tumpuan kepada kecemerlangan jangka panjang.

 

"Kami kekal komited dalam meningkatkan kapasiti kami selepas siapnya gudang simpanan di Pulau Indah dan Vietnam yang dijangka mula beroperasi awal tahun hadapan.

 

"Ini akan mengukuhkan kedudukan kami menuju ke 2023 sambil kami melihat untuk berkembang ke segmen baharu dengan penambahan baharu pada portfolio produk kami.

 

"Kami percaya kedudukan kami sebagai pengedar rantaian bekalan bersepadu bersama dengan hubungan pembekal yang teguh dan pelaksanaan komersial yang kukuh akan memastikan kami terus berkembang," katanya. - DagangNews.com