SAYA telah berada di Dubai sejak tahun 2000 dan mahukan terus bisnes hingga 2020 sempena Ekspo Dubai 2020. Tetapi saya kena strok pada Ogos 2018 di Serdang dan terus berhenti dari Dubai.
Saya pernah melawat tapak ekspo yang baru di bina pada tahun 2018 dan melihat pembangunan dengan kecanggihan dari seluruh dunia.
Dinamakan Pavilion “Sudur Hutan Hujan” Malaysia yang kononnya menarik ratusan ribu pengunjung sejak dibuka secara rasmi kepada orang awam 1 Oktober 2021.
Pavilion Sudur Hutan Hujan dikatakan satu bukti kepada komitmen padu Malaysia terhadap perlindungan alam sekitar dan pembangunan lestari.
Pavilion berkeluasan 1,234 meter persegi itu bertemakan "Energising Sustainability" ialah pavilion karbon sifar bersih pertama di Expo 2020 Dubai.
Bagi saya keluasan itu adalah kecil dan tidak menepati keluasan yang sepatutnya seperti negara-negara lain, Indonesia, Thailand dan Filipina.
Menurut cerita, pelawat dibawa menyusuri perjalanan Malaysia memulihara hutan rimbanya dan membangunkan sektor komoditi pertanian lestari yang membentuk pembangunan sosioekonomi negara. Begitu tarikan kepada pengunjung.
Faktor mengapa Malaysia mempamerkan hutan hujan di sebelah pameran pembangunan komoditi pertanian lestari ialah untuk menyediakan kisah mengenai dasar pengurusan guna tanah negara yang berpandangan jauh sejajar dengan komitmen ke arah mengimbangi pembangunan ekonomi dan melindungi alam sekitar.
Dengan mengiktiraf dan menghargai peranan hutan hujan sebagai paru-paru planet dan kepentingan ini tidak pernah menjadi lebih penting dari masa ini dengan cabaran perubahan cuaca. Dengan berbangga sebagai sebuah negara tropika yang mengiktiraf kepentingan dengan komited untuk melindungi biosfera purba untuk manusia.
Menurut penganjur, Pavilion Malaysia menyasarkan untuk memberi inspirasi kepada pengunjung dengan merasai sendiri layanan baik dan kepelbagaian biologi hutan hujan yang mengasyikkan. Mempamerkan untuk pembangunan merentas pelbagai industri secara lestari dalam jangka masa panjang.
Dari amalan lestari, pameran utama dalam segmen pertama barang pameran pavilion dan pelawat akan dapat mengenali usaha jangka panjang Malaysia dalam pengurusan guna tanah dan pemuliharaan hutan.
Pengunjung dibawa ke bilik seterusnya yang mempamerkan komoditi pertanian lestari dan kemudian ke sebuah bilik dipenuhi barisan cahaya pemancar diod (LED) yang memaparkan hala tuju pembangunan masa hadapan Malaysia dengan bantuan sains, teknologi dan inovasi.
Selepas itu Kiub LED gergasi yang tergantung dan mengeluarkan visual tiga dimensi (3D) mengenai transformasi syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) termasuk sasaran pelepasan sifar bersihnya menjelang 2050.
Di dewan pameran selanjutnya mengetengahkan pelaksanaan kerangka bandar raya pintar untuk membimbing pembandaran lestari. Pameran terakhir menunjukkan rangkaian pintar yang menggambarkan integrasi teknologi digital untuk bergerak seiring tadbir urus, pengurusan sumber, perlindungan alam sekitar, mobiliti dan perdagangan.
Malaysia telah menganjurkan 26 program mingguan perniagaan dan perdagangan bertema yang dikurasi khusus merentas 10 industri utama.
Program secara mingguan dipimpin dan disokong oleh 21 kementerian, lima kerajaan negeri dan 70 agensi dengan kira-kira 300 syarikat menyertai sebagai delegasi perniagaan untuk meneroka perdagangan global dan peluang perniagaan.
Dua tiga orang sahabat yang ke pavilion Malaysia mengadu tiada apa-apa yang menarik di kawasan kecil. Pengunjung datang dan pergi begitu sahaja. Tiada apa untuk diceritakan.
Ini adalah satu kerugian di ekspo yang besar dengan negara-negara lain mempunyai ekspo yang canggih dan moden. Pavilion Malaysia tidak termasuk senarai yang menarik, mungkin dalam bajet yang kurang untuk mempamerkan kehebatan Malaysia.
Tiada tentang petani atau nelayan yang menghadapi risiko dengan pembalakan haram dan pelbagai masalah. Pembalakan haram dengan banjir yang menyebabkan kerugian. Hanya wakil-wakil yang bersut dan bertali leher.
Kita mahu mendengar sendiri dari peneroka dan penanam kelapa sawit seperti Felda, Felcra untuk bersama-sama dengan apa yang diwawaskan. Petani ini sepatutnya diketengahkan dan menjadi duta yang bercakap tentang misi dan visi kerana mereka terlibat secara langsung.
Apalah sejarah yang Malaysia telah berikrar 50% pada Sidang Kemuncak Bumi Rio pada 1992. Dengan mempunyai 55% daripada jisim tanah di bawah litupan hutan.
Daripada hutan pergi ke perladangan dan telah menunaikan ikrar dalam memenuhi komitmen 50% dilindungi hutan di negara ini.
Kerajaan Malaysia menurut penganjur mempunyai dasar yang kukuh untuk mengekalkan tanah dengan ladang kelapa sawit pada 6.5 juta hektar, hari ini mempunyai 5.85 juta hektar bermakna tidak menanam lebih daripada itu.
Kita tidak tahu dengan kelapa sawit yang memasuki alam pertanian dengan alam semulajadi dan tumbuhan hutan masih berkekalan atau tidak.
Kita harus memberikan Taman Negara dan Taman Negeri peluang untuk bersama delegasi, ramai yang tertarik dengan hutan semula jadi.
Perladangan dikatakan sangat penting kepada ekonomi Malaysia kerana menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 500,000 pekebun kecil kelapa sawit. Tetapi tiada pekebun untuk menyatakan pendapat mereka.
Malah, petani dan pekebun kecil mampu menjana pendapatan untuk menghantar anak mereka ke sekolah dalam kemerosotan ekonomi dan ramai yang tercicir.
Sayangnya tiada petani dan pekebun yang muncul di Dubai untuk menyatakan semua ini selain pegawai-pegawai.
Selain aspirasi negara untuk memajukan bidang sains dan teknologi kerana tidak boleh bergantung kepada perladangan sebagai satu-satunya komoditi.
Dengan dasar dan inisiatif untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030, lagi 7 tahun dan rasanya Malaysia dengan politik yang tidak stabil dan rasuah akan ketinggalan.
Saya melihat Youtube rakaman Pavilion Malaysia bersama pavilion negara lain dan bersetuju dengan kawan-kawan, Pavilion Malaysia tidak menarik, kecil dengan hanya dua warung menjual makanan.
Itu komen saya yang tidak dapat hadir.