PBA Holdings lantik Timbalan CM Pulau Pinang, Mohamad Abdul Hamid dan Jagdeep Singh Deo sebagai ahli lembaga pengarah | DagangNews Skip to main content

PBA Holdings lantik Timbalan CM Pulau Pinang, Mohamad Abdul Hamid dan Jagdeep Singh Deo sebagai ahli lembaga pengarah

Jagdeep Singh Deo dan Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid

KUALA LUMPUR 13 Sept - Penyedia perkhidmatan air Pulau Pinang, PBA Holdings Bhd melantik Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang yang baru dilantik, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid sebagai naib/timbalan pengerusi bukan bebas dan bukan eksekutif.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PBA berkata, Mohamad, 49, adalah ahli exco kerajaan negeri Pulau Pinang, ADUN Batu Maung dan ahli Parti Keadilan Rakyat, parti komponen gabungan Pakatan Harapan.

 

Mohamad memiliki ijazah kedoktoran dalam perbankan dan kewangan Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau mempunyai pengalaman dalam jawatan akademik dan pentadbiran di universiti awam dan swasta selama lebih 20 tahun.

 

"Beliau memulakan kerjaya sebagai ahli akademik di Jabatan Kewangan, Fakulti Pengurusan Perniagaan di Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

"Beliau adalah Felo Akademik Pasca Kedoktoran dalam Kewangan Islam di Institut Pengajian Tinggi Markfield (MIHE) di UK," kata PBA.

 

Sementara itu, PBA juga melantik Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo sebagai pengarah bukan bebas dan bukan eksekutifnya.

 

Jagdeep, 52, adalah ADUN Datuk Keramat dan ahli DAP. Beliau adalah anak sulung kepada mendiang Datuk Seri Karpal Singh, dan abang kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Ramkarpal Singh dan Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo.

 

Selain itu, PBA turut menamakan Datuk Dr Roslan Ahmad sebagai pengarah bukan bebas dan bukan eksekutifnya.

 

Roslan, 63, kini merupakan pengarah Kedamaian Kemanusiaan Bhd, yang menguruskan kerja-kerja kemanusiaan dan pengumpulan dana untuk Palestin, Syria dan Rohingya. - DagangNews.com