PCSH sumbang baucar RM30,000 kepada 10 NGO jalani pemeriksaan mamogram, saringan kesihatan percuma | DagangNews Skip to main content

PCSH sumbang baucar RM30,000 kepada 10 NGO jalani pemeriksaan mamogram, saringan kesihatan percuma

Si Boon (lima dari kiri) menyampaikan sumbangan baucar pemeriksaan kesihatan percuma kepada wakil NGO.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 19 Okt - Sebanyak RM30,000 disumbangkan Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) dalam bentuk baucar bagi menjalani pemeriksaan mamogram dan ultrasound payudara percuma kepada lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

 

Lima NGO lain pula menerima baucar pakej saringan kesihatan komprehensif yang mana kesemua sumbangan ini bakal dimanfaatkan kira-kira 200 orang penerima.

 

Sumbangan ini disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH), Dato' Lim Si Boon pada Kempen Fight For Pink, Act For Blue di AEON Klebang di sini.

 

Kempen sehari itu anjuran PCSH dengan kerjasama Kinta Properties Holdings Sdn. Bhd. dan International Ipoh Fashion Week (IFW).

 

Kanser
Peragawati mengiringi seorang pesakit kanser pada sesi pertunjukan fesyen.

 

Semasa berucap pada majlis itu, Si Boon berkata, kanser payudara adalah isu kesihatan yang memerlukan pemahaman dan kepekaan, kerana kesedaran adalah kunci pencegahan yang berkesan.

 

"PCSH antara hospital swasta yang menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti seiring dengan perkembangan teknologi perubatan masa kini.

 

“Bangunan baharu PCSH enam tingkat dilengkapi dengan peralatan diagnostik terkini bertujuan mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan dan kepuasan pelanggan,” ujarnya.

 

Justeru katanya, kempen ‘Fight For Pink, Act For Blue’ ini untuk menyuntik kesedaran kepada masyarakat pentingnya pencegahan awal penyakit yang dilabelkan sebagai pembunuh senyap itu.

 

Fesyen

 

"Pengesanan dan pencegahan awal penyakit kanser adalah penting daripada mengubati.

 

"Kempen ini menggalakkan masyarakat mengutamakan kesihatan di samping memahami faktor risiko yang menyumbang kepada penyakit ini," ujarnya.

 

Antara aktiviti yang dijalankan semasa kempen ini ialah perkhidmatan saringan kesihatan termasuklah ujian tekanan darah, gula, lemak badan, kecergasan, penglihatan, pendengaran dan pendidikan kesihatan.

 

Kempen ini turut membuka peluang pengunjung membuat sumbangan rambut untuk pesakit kanser yang dikelolakan Hairdressing Skills Development Organization.- DagangNews.com

 

Fesyen