PDRM galak orang ramai bayar saman di kaunter IPD, IPK elak penularan COVID-19 | DagangNews Skip to main content

PDRM galak orang ramai bayar saman di kaunter IPD, IPK elak penularan COVID-19

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Dis - Orang ramai disarankan untuk membuat bayaran saman trafik di kaunter trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) daerah dan kontinjen bagi mengelakkan penularan COVID-19.

 

Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasan Trafik dalam satu kenyataan memberitahu, bayaran itu boleh dibuat di mana-mana Ibu Pejabat Polis Daerah dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen bermula 8.30 pagi hingga 5 petang termasuk cuti hujung minggu.

 

"Waktu pembayaran itu ditetapkan kepada orang ramai bermula 9 hingga 12 Disember ini.

 

"Bayaran kaunter di KLCC ditutup bagi mengelakkan berlaku kesesakan, tiada penjarakkan dan keadaan yang sukar dikawal yang mana akan memberikan risiko kepada berlaku penularan jangkitan Covid-19," katanya.

 

Bersempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM), kerajaan menawarkan diskaun sehingga 80% untuk saman tertunggak  

 

Pada hari pertama AKM, kaunter pembayaran saman yang terletak di Dewan Lima, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) 'meriah' dengan kehadiran orang ramai yang ternyata tidak mahu melepaskan peluang melangsaikan tunggakan saman trafik PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Selain bayaran di kaunter, orang ramai juga boleh membuat bayaran menerusi dalam talian menerusi laman web https://mybayar.rmp.gov.my/en , http://public.jpj.gov.my dan https://myeg.com.my/auth/login. - DagangNews.com