KUALA LUMPUR 25 Mac - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengekalkan momentum kecemerlangan dalam penurunan indeks jenayah negara, sekali gus membuktikan kredibiliti PDRM dalam menjaga keamanan negara amat tinggi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri berkata, ia terbukti apabila jenayah indeks bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini menurun kepada 8,484 kes berbanding 9,773 dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Beliau turut dimaklumkan jenayah indeks bagi tahun 2021 juga menunjukkan penurunan iaitu 52,974 kes berbanding 65,623 kes pada tahun 2020.
Katanya, dalam usia menjangkau 215 tahun, segala pengalaman yang diharungi telah menjadikan PDRM sebuah agensi penguat kuasa utama negara yang matang dan amat komited dalam memikul mandat dan tanggungjawab.
"Sepanjang dua tahun ini, Keluarga Malaysia terpaksa melalui kehidupan yang amat mencabar dan memerlukan bantuan daripada pelbagai pihak bagi mengurangkan beban akibat pandemik COVID-19. Saya menghargai peranan yang dimainkan oleh anggota PDRM sebagai barisan hadapan yang banyak membantu meringankan beban Keluarga Malaysia ketika pandemik.
"Lebih membanggakan, walaupun hampir seluruh kekuatan jentera pasukan telah dikerahkan untuk penugasan OP COVID-19, PDRM tetap komited dalam mengimbangi keutamaan perkhidmatan memerangi jenayah dan mengekalkan keharmonian masyarakat serta keamanan negara.
"Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada anggota PDRM yang sanggup mengetepikan kepentingan diri, berhujan panas, memerah keringat dan mendedahkan diri kepada risiko jangkitan dan bencana," katanya dalam ucapan perbarisan sambutan peringatan Hari Polis ke-215 di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
Menurut Ismail Sabri, negara akan memasuki fasa ‘peralihan ke endemik’ mulai 1 April 2022 yang membolehkan Keluarga Malaysia kembali hidup dalam keadaan normal.
Beliau berkata, walaupun banyak kelonggaran diberi, seperti tiada lagi penjarakan fizikal, namun Keluarga Malaysia masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang kekal seperti pemakaian pelitup muka atau mask disamping penjagaan kebersihan diri.
"Kerajaan sedar bahawa tugas kepolisan dalam menangani kes jenayah semakin kompleks, lebih-lebih lagi dengan pengwujudan teknologi dan pelbagai aplikasi media sosial yang disalahgunakan untuk perbuatan jenayah. Semua ini menuntut PDRM menanganinya secara tegas, strategik dan berkesan demi memastikan keselamatan negara dan ketenteraman awam terpelihara.
"Kerajaan berpuas hati dengan tahap profesionalisme dan kesiapsiagaan yang ditunjukkan oleh anggota PDRM dalam memikul amanah, termasuk dalam menangani ancaman militan. Dalam konteks menjaga keamanan negara, bebanan ini tidak sepatutnya diletakkan atas bahu pasukan keselamatan seperti PDRM semata-mata," katanya.
Perdana Menteri turut menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia supaya berganding bahu dan bekerjasama dengan PDRM bagi mengurangkan jenayah dan membanteras tindakan anasir yang cuba menggugat kedaulatan negara dan ketenteraman awam.
"Marilah kita sama-sama menghayati konsep Keluarga Malaysia yang fokus kepada‘Keterangkuman’ (Inclusivity), ‘Kebersamaan’ (Common Ground) dan ‘Kesyukuran’ (Contentment). Konsep ini memberi banyak manfaat kepada Keluarga Malaysia dalam pelbagai aspek selain membuktikan kesungguhan Kerajaan dalam menjamin kesejahteraan dan kebajikan ramai," katanya.
Katanya, kerajaan amat prihatin terhadap keperluan pasukan polis untuk meningkatkan keupayaan dalam menghadapi dan membanteras kejadian jenayah kerana soal keselamatan bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh. - DagangNews.com