Pegangan saham tambahan 13% dalam Empire Resorts, Maybank IB turunkan unjuran pendapatan Genting Malaysia sebanyak RM40 juta setahun | DagangNews Skip to main content

Pegangan saham tambahan 13% dalam Empire Resorts, Maybank IB turunkan unjuran pendapatan Genting Malaysia sebanyak RM40 juta setahun

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jan - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak turun pendapatan Genting Malaysia Berhad sebanyak RM40 juta setahun kesan daripada pegangan saham tambahannya sebanyak 13% di dalam  Empire Resorts Inc.

 

Firma penyelidikan itu juga mengunjurkan hutang bersih kumpulan itu meningkat sebanyak RM465 juta bagi mencerminkan langganan itu.

 

Katanya, mereka juga mengecilkan harga sasaran berasaskan aliran tunai terdiskaun (DCF-TP) kepada 10% berbanding 15%.

 

"Diskaun kami sebelum ini sebanyak 15% membayangkan bahawa Genting Malaysia boleh membelanjakan antara AS$600 juta hingga AS$650 juta untuk Empire tetapi ia dilihat terlalu tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Terdahulu, kumpulan itu akan menyuntik lagi AS$100 juta melalui unit milik penuh tidak langsungnya ke dalam Empire Resorts, di mana ia telah memasukkan kira-kira AS$624.4 juta setakat ini.

 

Suntikan modal terkini melibatkan Genting Malaysia yang melanggan 1,000 saham pilihan Empire Siri M. Empire merancang untuk menggunakan suntikan modal untuk modal kerja, dan untuk membayar kemudahan bank AS$58 juta.

 

Saham pilihan Siri M, dengan tarikh matang pada 31 Disember 2038, boleh ditukar selepas akhir 2030 kepada 100 juta saham Empire biasa pada AS$1 setiap satu.

 

Jika penukaran tidak berlaku sebelum tarikh matang, saham pilihan itu akan ditukar secara automatik kepada 100 juta saham biasa Empire pada AS$1 setiap satu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, suntikan ekuiti terbaharu itu menyaksikan pegangan saham berkesan Genting Malaysia dalam Empire meningkat kepada 90% daripada 76% dan menjadikan jumlah pelaburannya dalam Empire kepada AS$724.4 juta.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga RM3.03 sesaham," katanya. - DagangNews.com