Pegawai kontrak KEMAS dilantik tetap dalam 10 tahun, bukan lagi 15 tahun | DagangNews Skip to main content

Pegawai kontrak KEMAS dilantik tetap dalam 10 tahun, bukan lagi 15 tahun

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Datuk Seri Mahdzir Khalid meninjau pameran yang diadakan bersempena Majlis Perasmian Perhimpunan Perdana Sempena Sambutan 60 Tahun Jabatan Kemajuan Masyarakat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada 28 Ogos 2022.

SERDANG 28 Ogos - Kerajaan bersetuju mengurangkan tempoh kelayakan pegawai kontrak perkhidmatan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) ke lantikan tetap kepada 10 tahun berbanding 15 tahun sebelum ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju melonggarkan syarat pegawai lantikan kontrak perkhidmatan yang berkhidmat lebih 10 tahun tetapi kurang daripada 15 tahun untuk dilantik dalam jawatan tetap.

 

"Dasar ini dipanjangkan juga kepada lantikan kontrak perkhidmatan pada atau sebelum 11 Oktober 2020 yang sebelum ini hanya diluluskan kepada pegawai lantikan kontrak sebelum atau pada 23 Oktober 2015.

 

"Jadi saya minta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) untuk ambil tindakan segera dengan membuat kajian terhadap perkara ini," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Perdana Sempena Sambutan 60 Tahun Jabatan Kemajuan Masyarakat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.


 

PM

 

PM

 


Perdana Menteri turut mengumumkan kenaikan kadar elaun Pembantu Pemaju Masyarakat Sukarela KEMAS kepada RM800 sebulan berbanding RM500 sebelum ini yang akan membabitkan seramai 9,439 PPM.

 

Ismail Sabri berkata kerajaan juga bersetuju menaikkan bantuan sara hidup ahli Persatuan Bekas Anggota KEMAS Malaysia (PBKAM) daripada RM300 ke RM500.

 

Mengimbau pertemuannya dengan PBKAM ketika beliau menerajui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang kini Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Ismail Sabri berkata PBKAM telah memohon untuk diberikan bantuan sara hidup yang sebelum itu tidak ada, namun bantuan sara hidup untuk PBKAM itu akhirnya diluluskan dengan jumlah RM300.

 

"Demi mengenang jasa PBKAM seramai 4,423 orang, saya setuju naikkan bantuan sara hidup kepada RM500 sebulan," katanya yang menghargai sumbangan warga KEMAS dalam melaksanakan pelbagai usaha untuk meningkatkan kualiti kesejahteraan masyarakat luar bandar pada majlis perhimpunan itu.

 

PM

 

Pada perhimpunan yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid itu, Ismail Sabri berkata kerajaan juga bersetuju memberi peruntukan RM8 juta kepada KEMAS bagi program digitalisasi 800 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) KEMAS. - DagangNews.com